Najib: Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara

by Black Hat on 13 September, 2012

in Info Pendidikan

Share:

Najib- Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dengan usaha meningkatkan pencapaian semua pelajar serta memenuhi aspirasi tinggi negara di negara kita ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan tidak akan hanya berdiam diri dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

“Perubahan yang dimaksudkan bukanlah hanya sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, tetapi sekarang ini kita perlu juga memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran di negara kita ini,” katanya.

“Itulah sebab kita telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” ujar beliau.

Semalam, Najib melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bakal menyediakan satu pelan komprehensif bagi satu transformasi yang pesat dan mampan dalam sistem pendidikan di negara kita ini.

“Dari bagaimana kita mendekati pembelajaran pelajar, cara kita mengambil, melatih dan memberi ganjaran kepada guru-guru dan pengetua kita, sehinggalah kepada bagaimana Kementerian Pendidikan itu sendiri beroperasi – ianya membentangkan satu proses bagi perubahan tersebut,” katanya.

Najib berkata  sasaran itu adalah amat tinggi namun ianya boleh dicapai.

Antaranya termasuklah memastikan pendaftaran sejagat dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan menengah atas dalam tempoh 10 tahun; mengurangkan sebanyak hanpir separuh jurang pencapaian antara golongan kaya dan miskin, bandar dan luar bandar, dan antara negeri-negeri yang membentuk Malaysia dalam tempoh 8 tahun; meningkat naik daripada negara yang tergolong dalam kumpulan pertiga terbawah ke pertiga teratas bagi penilaian- penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS dalam tempoh 15 tahun; dan membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak-anak kita untuk menghargai identiti unik kita sebagai rakyat Malaysia.

Setiap usaha, katanya, mestilah tertumpu ke arah meningkatkan pencapaian pelajar itu sendiri.

“Transformasi sistem pendidikan bukannya satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran dalam merealisasikannya. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja Kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

“Dari ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki hingga ke tahap maksima,” katanya.

“Oleh itu, Insyaallah, marilah kita bersama-sama sebagai satu negara melalui perjalanan yang menarik, mencabar dan yang paling penting, perlu kita lakukan,” katanya lagi.

Beliau berterima kasih kepada ribuan guru, pengetua, pentadbir serta pegawai dan petugas Kementerian Pendidikan yang berdedikasi kerana sistem pendidikan Malaysia telah menjadi asas pembangunan negara kita ini.

“Hakikatnya bahawa pendidikan adalah sebahagian penting daripada pembangunan diri seseorang dan juga merupakan penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi di negara Malaysia ini.

“Ia memberi inspirasi kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan kemahiran yang dperlukan oleh golongan belia agar mampu bersaing dalam pasaran modal insan moden dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang seterusnya,” jelasnya.

Najib berkata pemerhatian perlu bagi memastikan sistem pendidikan terus mencapai kemajuan yang  seiring dengan usaha kerajaan memperkenalkan langkah di bawah Model baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.

-PENDIDIKAN @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: