SIBU – Sekiranya sebuah kerajaan yang baik di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) kehilangan kesinambungan pimpinan, negara akan rugi besar memandangkan gabungan itu menguruskan negara dengan sangat baik selama lebih 50 tahun.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Malaysia tidak seharusnya ditadbir oleh golongan yang kurang berpengalaman kerana ianya akan membawa negara ke arah kehancuran.
Pandangan ini diberikan ketika negara menyambut Hari Malaysia dan spekulasi meningkat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat.
“Tiada parti baru dalam politik yang boleh melakukan keajaiban dan kemudiannya berkata mereka boleh berkhidmat dengan lebih baik lagi,”
katanya pada majlis pecah tanah universiti terbaru Sarawak iaitu Kolej Universiti Teknologi Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini hari ini.
“Barisan Nasional mempunyai pemimpin dan anggota yang berkualiti dan dipercayai boleh membawa transformasi kepada negara ini.
“Memandangkan Dato’ Seri Najib adalah seorang yang kerap berkunjung sama ada ke pusat bandar atau luar bandar sejak menerajui kepimpinan kerajaan persekutuan tiga tahun lepas,jadi beliau sangat maklum tentang keperluan dan aspirasi negeri ini”
kata Taib.
Justeru, beliau menyeru masyarakat Sarawak agar berdiri teguh di belakang kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib, untuk membolehkan negeri ini, yang semakin menghampiri pemodenan, mencapai aspirasi ini dengan jayanya.
Sementara itu, beliau yang berucap pada majlis Hari Raya anjuran Dewan Undangan Negeri kawasan Nangka di Masjid An-Nur, yang turut dihadiri perdana menteri, berkata:
“Rakyat kini berdepan dengan perjuangan yang besar untuk mempertahankan kerajaan BN yang mempunyai komitmen dan sejarah dalam membawa kemajuan serta pembangunan di negeri ini.”
Beliau berkata saban hari perjuangan itu menjadi semakin rumit, namun kerajaan BN mampu menanganinya. Tambahan pula kepimpinannya telahpun membuktikan keupayaan dan kebolehan untuk menjadi semakin baik.
“Marilah kita beri mandat yang paling besar kepada Dato’ Seri Najib untuk memimpin kerajaan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
“Kita perlu bersatu padu untuk mengundi kerajaan dan kepimpinan beliau serta menolak golongan yang hanya mahu membuat pelbagai janji,”
katanya.

