Pekerja Kilang Tinggal Sehelai Sepinggang Selepas Kebakaran

by MediaKini on 6 September, 2012

in Info Terkini

Share:

Pekerja Kilang Tinggal Sehelai Sepinggang Selepas Kebakaran: “Kami sedang tidur apabila seorang rakan mengejutkan dan memberitahu ada kebakaran,” kata Mohd Nuzrul Islam, 27, pekerja kilang perabot di Kampung Baru, di sini, yang musnah dalam kebakaran mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM1 juta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, turut musnah dalam kebakaran tersebut termasuk kuarters menempatkan 12 pekerja kilang berkenaan yang terletak berhampiran menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Mohd Nuzrul berkata, seorang rakannya bangun daripada tidur untuk ke tandas yang terletak di luar kuarters apabila tiba-tiba ternampak asap tebal keluar dari kilang.

“Rakan saya segera mengejutkan kami daripada tidur sebelum kami beramai-ramai cuba memadamkan kebakaran berkenaan.

“Namun, usaha kami gagal apabila api semakin marak dan menyambar keseluruhan bahagian kilang menyebabkan kami semua terpaksa berundur kerana bimbang terperangkap dalam api,” katanya.

Katanya, dia  serta rakan sekerja lain juga tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi apabila kuarters mereka yang menempatkan pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia serta Myanmar turut terbakar.

“Kami kini kehilangan tempat tinggal dan menanti majikan mencarikan kediaman baru berikutan kuarters kami sudah musnah.

“Saya pula hanya mampu menyelamatkan uniform kerja dan ini saja pakaian yang tinggal,” katanya yang baru setahun bekerja di kilang tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Che Dawud Adli Yusoff berkata, 3 jentera termasuk dari Damansara serta Shah Alam dengan 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 11.14 malam. - Pekerja Kilang Tinggal Sehelai Sepinggang Selepas Kebakaran

5.0

Previous post:

Next post: