Perpustakaan mesra alam bernilai RM40 juta dibina di KK

by Black Hat on 4 September, 2012

in Info Pendidikan

Share:

Perpustakaan mesra alam bernilai RM40 juta dibina di KK

KOTA KINABALU – Sebuah perpustakaan berkonsepkan mesra alam bernilai RM40 juta akan dibina di bandar raya ini bagi menggantikan perpustakaan sedia ada yang sudah berusia lebih dari 40 tahun di ibu negeri Sabah ini.

Bangunan Perpustakaan Wilayah Kota Kinabalu tersebut bercirikan ‘perpustakaan dalam taman’ memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan Taman Perdana Tanjung Aru.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengalu-alukan kerjasama julung kalinya pembabitan syarikat swasta dalam memperuntukkan sebahagian kos pembinaan prasarana tersebut yang dijangka siap pada pertengahan 2015.

“Kerajaan ingin merakamkan perhargaan kepada Lahad Datu Water Supply atas inisiatif dan komitmen yang dipamerkan dalam membantu kerajaan negeri membina kemudahan ini,” ujarnya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Wilayah Kota Kinabalu di Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang mewakili Ketua Menteri pada majlis tersebut.

Musa berkata perpustakaan yang berkonsepkan teknologi hijau itu akan dibina dengan pelbagai kelengkapan canggih bagi kemudahan pengguna terutama para pelajar sekolah.

Katanya lagi, pemilihan lokasi yang strategik, keluasan tapak tanah dan tempat letak kereta mencukupi akan memberi keselesaan kepada pengguna ke arah perkembangan minda dan peluasan ilmu bagi peningkatan taraf pendidikan seluruh lapisan masyarakat.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata perpustakaan yang berkonsep ‘bangunan hijau’ tersebut merupakan bangunan yang bercirikan teknologi binaan mesra alam semulajadi yang memberi tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah.

“Penciptaan bangunan hijau adalah suatu inovasi baharu yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar malahan kepada ekonomi,” katanya.

Sementara tersebut, Pengarah Urusan Lahad Datu Water Supply Datuk Steven Tan berkata pembabitan syarikatnya dalam usahasama itu atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti di negeri ini.

-PENDIDIKAN @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: