Restoran Hidang Mee Goreng Dawai Penyental : Hasrat seorang gadis untuk menikmati mi segera goreng bersama seorang rakan di sebuah restoran terbantut selepas dia menemui cebisan dawai penyental periuk dalam makanan itu.
Menurut pengadu, Roziana Mohamad, 29, berkata, restoran terbabit memang menjadi pilihannya dan rakan lain untuk menikmati hidangan memandangkan kelazatan makanannya.
“Sebelum kejadian ini saya kerap ke restoran itu namun saya hanya menikmati nasi bersama lauk pauk. Bagaimanapun kali ini saya dan rakan memesan mi segera untuk mengisi perut dan dalam tempoh kira-kira 14 minit makanan yang dipesan tiba di meja pada malam itu,” katanya.
Tanpa membuang masa, dia terus menjamah dan menikmati hidangan, namun selera tersentap selepas menyedari benda asing di sebalik dalam mi tersebut.
“Selepas amati secara jelas saya dapati ia cebisan dawai penyental periuk yang termasuk ke dalam mi segera saya. Selera saya terhenti serta merta, saya tak nak mati sebab makan mi berulam besi. Saya tak mahu makan lagi, bimbang boleh membahayakan kesihatan saya,” dakwanya kepada wartawan.
Meras terkejut melihat apa berlaku, rakannya turut memeriksa dalam mi segera goreng dimakan kerana bimbang perkara sama menimpanya.
“Bagaimanapun dia bernasib baik dan atas nasihat rakan, saya memaklumkan kepada pekerja restoran terbabit berkenaan kewujudan benda asing itu. Selepas dimaklumkan, pekerjanya dan pemilik restoran memohon maaf dan menggantikan makanan lain.
“Bagaimanapun pada awalnya saya akur namun tetap khuatir insiden sama berulang, pemilik restoran tidak mengenakan sebarang bayaran kepada saya,” katanya.
Namun apa yang lebih dikesalkan oleh Roziana ialah, dia khuatir pelanggan lain akan turut berdepan dengan situasi yang sama sepertinya.
“Justeru itu, saya harap pemilik restoran dan tukang masak peka dengan perkara tersebut kerana ia membabitkan makanan yang dimakan pelanggan. Jika benda asing itu masuk ke tubuh pelanggan pastinya akan berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kesihatan pelanggan. Jadi perkara ini harus dipandang serius,” katanya yang enggan lagi ke restoran berkenaan.


{ 1 trackback }