Tanah Surau Mendap Sebesar Kawah

by Harian Malaya on 7 September, 2012

in Info Riadah

Share:

Tanah Surau Mendap Sebesar Kawah : Tanah berdekatan surau Al Yaqeen didapati mendap dari saiznya  hanya sebesar kuali kini bertukar menjadi sebesar kawah.

Tanah Surau Mendap Sebesar Kawah

Para jemaah surau al-Yaqeen di pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terletak berdekatan Sri Kembangan hari ini terkejut mendapati mendapan tanah berlaku di surau berkenaan yang pada mulanya hanya sebesar ‘kuali’ merebak dan terhakis sehingga membentuk seperti sebuah kawah besar, petang kelmarin.

Difahamkan, hakisan dan mendapan berlaku ketika banjir besar melanda beberapa kawasan termasuk Seri Kembangan, Seri Serdang, Desa Serdang dan juga Serdang Jaya, lewat petang Selasa lalu.

Ketua Projek Pembinaan surau, Kapten (B) Samsudin Daud berkata, kejadian disedari jemaah kira-kira jam 6 petang Selasa lalu apabila melihat tanah jerlus di kawasan pekarangan surau yang menempatkan sebuah tangki septik.

Katanya, beliau hanya menyedari kejadian hakisan tanah menjadi semakin besar ketika hendak menunaikan solat Subuh pada keesokan harinya.

Samsudin berkata, beliau terkejut apabila lubang mendapan yang dimaklumkan jemaah pada mulanya hanya bersaiz 0.3 meter merebak dan terus terhakis dengan kedalaman lebih satu meter.

“Ketika mengunjungi surau untuk solat Subuh keesokannya (Rabu) saya dapati lubang mendap sudah semakin membesar dan pergerakan tanah masih berlaku.

“Ia membentuk seperti kawah besar dengan saiz diameter hampir dua meter,” katanya pihaknya terus menghubungi kontraktor pembinaan surau sebaik kejadian berlaku.

Menurutnya, pihaknya sudah meminta kontraktor untuk membaik pulih tanah yang terhakis di kawasan surau yang baru siap dibina pada Ogos tahun lalu.

Katanya, kawasan kejadian dan tandas terpaksa ditutup sehingga kerja baik pulih selesai dijalankan pihak kontraktor.

Beliau berkata, pihak surau juga sudah menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta pihak itu mengalihkan tiang elektrik yang berada hampir tempat kejadian ke tempat lain lebih selamat.

“Selain tanah jerlus di kawasan surau, turut mengalami hakisan dan runtuhan adalah bahagian longkang berhampiran tandas dewan Persatuan Penduduk yang terletak selang sebuah gerai bersebelahan surau,” katanya.

Berita Terkini @ forblogger

5.0

Previous post:

Next post: