Yana Pijak Serta Tumbuk Muka Pelakon :Disebabkan kerana terlalu menjiwai watak Manja dalam drama bersiri, ‘Bini-Bini Perkasa’, pelakon Yana Samsudin telah mencederakan 2 orang pelagak aksi ngeri atau stuntman ketika menjalani penggambaran drama tersebut baru-baru ini.

Perkara itu telah dikongsi sendiri oleh Yana ketika ditemui pada Majlis Sesi Ramah Mesra Bersama Pelakon ‘Bini-Bini Perkasa’, di Sri Pentas Bandar Utama, baru-baru ini.
“Dalam drama adaptasi dari filem ‘Bini-Biniku Gangster’ , babak berlawan lebih banyak berbanding dari filem ini di mana terdapat lebih kurang 26 babak gaduh serta berlawan yang perlu saya lakukan. Tidak dinafikan, babak dalam drama ini lebih berat.
“Sewaktu penggambaran, saya juga telah mencederakan 2 orang stuntman di mana seorang saya terpijak mukanya manakala lagi seorang saya tertumbuk di kepalanya,” ujar Yana menceritakan pengalaman yang membuatkannya lebih berhati-hati selepas ini.
Berkongsi mengenai pengalamannya berlakon di samping Fezrul Khan, Yana memberitahu, “Ada perbeza berlakon dengan Fezrul kali ini kerana sebelum ini saya sudah biasa dengan dia bagi watak serius. Saya suka dia punya komedi di mana komedinya lebih lain dari Sam dalam filem.”
Selain Yana dan Fezrul, pelakon lain yang bakal membintangi drama bersiri ‘Bini-Bini Perkasa’ ini ialah Intan Ladyana, Fadzil Zahari, Nizam Zaidi, Alex Yanz, Epy, Along Ezendy, Zul Suphian, Ruzaidi Abd Rahman, Zaidi Omar dan Afira Liyana.
Drama terbitan MIG Production itu bakal disiarkan bermula 3 September 2012, setiap hari Isnin jam 9.00 malam menerusi slot Aksi TV3. Drama 13 episod ini diarahkan oleh Ismail Bob Hashim. Bagi yang terlepas menonton drama ini boleh melayari laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan layari Facebook serta Twitter TV3Malaysia bagi mendapatkan berita terkini. - Yana Pijak Serta Tumbuk Muka Pelakon

{ 2 trackbacks }