BANGI: Di anggarkan sebanyak 49,464 Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) telah diserahkan kepada pelajar di 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) hari ini, membolehkan pemilik kad menikmati diskaun lima hingga 60 peratus untuk barangan terpilih.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hingga kini sebanyak 231 syarikat membabitkan 2,414 cawangan termasuk koperasi bersetuju menyertai inisiatif ini bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih.
“Inisiatif ini adalah untuk meringankan beban rakyat dan bertujuan memastikan generasi muda mendapat kemudahan yang sewajarnya,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama Siswa IPGM di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, di sini, hari ini.
Teks ucapan Muhyiddin dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Turut hadir di majlis itu, Rektor IPGM, Datuk Dr. Haili Dohlan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datin Mahani Tan Abdullah.
Tambah Muhyiddin lagi, beliau turut menasihatkan siswa supaya kemudahan yang disediakan ini dapat digunakan sebaiknya, bukan untuk bermewah-mewah.
“Gunakanlah ia untuk mendapatkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dilakukan supaya setiap sen yang dibelanjakan bileh memberikan hasil yang diharapkan,” katanya.


{ 1 trackback }