KUALA LUMPUR: JAKIM, sebanyak 60 peratus daripada 179 restoran francais Oldtown White Coffee di Semenanjung telah mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sementara itu, baki 40 peratus lagi sedang menunggu proses pengesahan halal dari jabatan itu, menurut pengerusi Oldtown Berhad Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie dalam kenyataan di sini Jumaat.
Menurut Datuk Dr Ahmed, syarikat itu menjangkakan pensijilan halal bagi kesemua 179 restoran francais beliau akan disempurnakan menjelang akhir tahun ini.
Old Town White Coffee juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ia tidak menyajikan produk makanan yang tidak halal mahu pun menyajikan alkohol kepada pelanggan.
“Semua bekalan kami disediakan pembekal yang memiliki persijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim, dan dikehendaki mengemukakan sijil halal yang sah bagi setiap bahan yang dibekalkan,” katanya.
Tambah beliau, syarikat itu juga mempunyai sebilangan kafe yang turut dimiliki sepenuhnya oleh francaisi beragama Islam.
Ahmed Tasir berkata, pihaknya juga sentiasa berusaha untuk mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim berhubung penyediaan makanan dan minuman kepada pelanggan beragama Islam.
“Terdapat dua kakitangan Muslim warganegara Malaysia bertugas pada setiap giliran di setiap restoran sebagaimana ditetapkan oleh Jakim,” katanya.
Tegasnya, syarikat itu tidak bersekutu dengan sebarang parti politik memandangkan Oldtown Berhad merupakan syarikat awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Saham Malaysia.
“Kami bekerjasama rapat dengan Cyber Security Malaysia dan Biro Aduan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperbetul tuduhan-tuduhan yang dilemparkan secara dalam talian dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana pihak yang berterusan memfitnah Oldtown White Coffee,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Hub Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff ketika dihubungi wartawan mengesahkan pemberian sijil halal itu, dan mengatakan baki permohonan syarikat Oldtown Berhad masih dalam proses kelulusan.
Kata beliau, sebahagian permohonan masih berada pada peringkat tindakan pembetulan pihak syarikat dari segi pematuhan standard dan prosedur persijilan halal Jakim.


{ 1 trackback }