Isu Amy Search menegur Johan di laman twitter berkenaan isu pengurusnya itu sedikit sebanyak mengegarkan juga dunia hiburan, apatah lagi beliau adalah seorang yang di segani dan di hormati dikalangan artis-artis junior.
Bukan niat ingin menyakiti hati sesiapa, komen Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 54, di laman twitter itu mengejutkan ramai kerana ianya tidak pernah berlaku, tambah pula Amy bukanlah seorang yang suka mengkritik artis lain atau bercakap sesuatu yang tiada kaitan dengan dirinya.
Amy yang dihubungi wartawan menjelaskan, apa yang diluahkannya itu bukan untuk menyakiti sesiapa tetapi nasihat yang diberikan kepada Johan kerana dia sering lihat pemuda itu seperti dikongkong.
“Sebelum ini saya pernah dengar cerita pengurus Johan tidak benarkan dia berjalan dengan Nabila di ‘red carpet’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Tak perlu saya dedahkan siapa yang memaklumkan, cukuplah saya simpan ia sebagai rahsia untuk diri sendiri.
“Apabila dimaklumkan hal itu saya tertanya-tanya mengapa dikekang sebegitu rupa. Mula–nya, saya tidak berapa mengendahkan hal berkenaan, tetapi setiap kali berjumpa Johan dan jika dia ditemani pengurusnya, Johan jadi macam takut-takut hendak bergaul dengan kami (dia dan keluarganya).
“Walhal saya rapat dengannya dan kami pernah bercuti sama di Jepun. Saya sudah menganggap Johan seperti anak sendiri. Sama ada dia bercinta atau tidak bercinta dengan anak saya Nabila, saya sayangkan Johan seperti anak. Dia seorang anak yang baik dan budi pekerti tinggi.
“Apabila keadaan Johan berbeza setiap kali dengan pengurusnya, tentulah saya sebagai orang tua ini berasa kecewa. Pada Anugerah Blokbuster misalnya, Johan sekali lagi nampak kurang selesa tidak seperti selalunya apabila berdepan dengan saya.
“Jadi apabila kami berbual keesokan harinya di twitter, saya menasihatinya supaya tidak takut pada pengurus kerana artis bayar pengurus untuk menguruskan kerjaya seni mereka.
“Terus terang Johan tidak pernah mengadu apa-apa dengan saya mengenai hal kerjayanya. Cuma, kalaulah Johan dilarang mendekati kami saya rasa itu tidak masuk akal kerana kita sama-sama dalam industri, tidak salah pelakon dan penyanyi bergaul sesama sendiri,” katanya.
Menerusi perbualan itu, Amy bagaimanapun memohon maaf jika komen ‘tweet’ nya menyebabkan pihak pengurusan Johan tersinggung.
Di samping itu, Amy turut menafikan, apa yang tercatat di twitter itu di karang oleh isterinya, Norhasniza Hassan (Nourish) apabila ada pihak pula mendakwa demikian.
“Segala yang tertulis dalam perbualan kami (dia dan Johan) saya yang menulisnya sendiri. Isteri saya tiada kena-mengena. Saya juga ingin meminta maaf kalau pihak pengurusan Johan terasa dengan kenyataan saya. Saya tidak berniat dan tidak menyangka langsung hal ini akan menjadi hangat,” katanya.

