Anggota polis minta rasuah dengan DJ Tyzo Suria FM

by Black Hat on 3 October, 2012

in Info Terkini

Share:

Anggota polis minta rasuah dengan DJ Tyzo Suria FM
PETALING JAYA: Percubaan salah seorang anggota polis trafik yang ingin meminta sogokan daripada Tyzo DJ Suria FM bakal menempa padah apabila penyampai radio itu telah melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tuah Zoqarnain Idris yang lebih dikenali dengan Tyzo berkata, dia melakukan tindakan tersebut semata-mata untuk menyokong usaha pihak PDRM dan kerajaan bagi membanteras kegiatan tersebut khususnya melibatkan anggota unit beruniform.

“Saya telah ditahan oleh salah seorang anggota polis trafik pada Isnin lalu dan dia meminta sogokan sehingga menyebabkan saya terpaksa melaporkan perbuatan buruk itu kepada pihak atasannya agar menjadi pengajaran kepada anggota terbabit serta polis-polis lain.

“Bukan hanya setakat pihak PDRM sahaja, malah saya turut memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka telah memberikan respons terhadap laporan berkenaan,”

katanya kepada wartawan, di sini, Selasa.

Tyzo diminta mengulas luahannya menerusi segmen ‘Citra Muzik Di Suria FM’ (8 malam hingga 11 malam) yang dikendalikannya pada malam Isnin lalu yang antara lain dia turut berkongsi pengalaman apabila seorang anggota polis cuba meminta sogokan ketika menahannya.

Bercerita mengenai kejadian itu Tyzo berkata, ia berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah mesyuarat dan ditahan dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Jalan Sunway dekat sini, kira-kura pada pukul 12 tengah hari pada Isnin lalu.

Tyzo berkata dia ditahan kerana kesalahannya memandu kenderaan yang menggunakan cermin gelap dan anggota polis berkenaan memberi pilihan sama ada untuk menyelesaikan kes tersebut dengan memberi sogokan ataupun mengeluarkan saman.

Katanya, selepas memohon maaf kerana kesalahan itu, anggota polis tersebut tetap menyuruhnya membuat pilihan yang ditawarkan anggota polis terbabit, sehinggalah Tyzo terpaksa memberitahu dia adalah petugas media dan akan melaporkan perbuatan itu kepada pihak atasan PDRM.

“Mungkin kerana polis itu terkejut dengan penjelasan berkenaan, anggota tersebut melepaskan saya dengan meninggalkan saya begitu sahaja, namun saya sempat mencatat nama dan nombor badannya,”

jelas Tyzo.

Katanya, selepas memikirkan beberapa perkara demi kebaikan, dia telah menulis mengenai peristiwa itu lalu mengirimkannya kepada pihak atasan PDRM termasuklah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menerusi e-mel serta pihak SPRM.

Ujar Tyzo lagi, dia mendapat respons yang agak positif apabila seorang pegawai kanan polis dari bahagian tatatertib, Bukit Aman telah menelefonnya untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu manakala pihak berkuasa SPRM turut mengambil langkah serupa.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana memandang kes ini dengan serius demi kebaikan anggota polis Malaysia. Ini menunjukkan pihak berkuasa benar-benar mahu membanteras kegiatan rasuah di negara ini,”

ujarnya lagi.

Sehubungan itu Tyzo juga menasihatkan kepada orang ramai agar tidak takut untuk melaporkan salah laku penjawat awam atau sesiapa sahaja agar perbuatan rasuah dapat dibanteras sepenuhnya. – Info Terkini @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: