Aznil Hj Nawawi berasa begitu sebak ketika menziarahi penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim yang sedang menderita penyakit saraf Arteriovenous Malformation(AVM).
Aznil yang turut mewakili program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Astro Kasih pada Khamis memberikan sumbangan RM10,000 kepada Kamal bagi meringankan bebannya menampung kos pembedahan sebanyak RM41,820.
“Alhamdulillah, pembedahan kaedah Cyber Knife yang menggunakan tembakan laser bagi mengeluarkan gumpalan urat saraf terlebih pada bahagian otak kirinya berjaya dilakukan pada kira-kira 4.30 petang semalam (Rabu).
“Saya dan Astro terpanggil untuk meringankan bebannya kerana sumbangan beliau dalam mendidik masyarakat memerangi jenayah amat besar,” katanya.
Aznil yang turut diiringi barisan personaliti program On Air mengunjungi Kamal yang kini ditempatkan di Pusat Pakar Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya di sini pada petang Khamis, semalam.
Kata Aznil, hubungan baiknya dengan Kamal kerana pernah bekerjasama dalam programMacam-Macam Aznil dan beberapa program terbitan Astro sebelum ini membuatkan dia berasa bertanggungjawab untuk membantu.
“Keadaannya masih lemah tetapi stabil pada waktu ini. Apabila saya tiba di wad, dia sebak, gembira dan tidak menyangka akan menerima bantuan tersebut.
“Dalam perasaan sebak ketika kami bertemu, saya sempat memberikan kata-kata semangat bahawa, ubat datang dalam pelbagai bentuk, bukan hanya ubat hospital tetapi juga doa dan semangat diberikan rakan-rakan,” katanya.
Antara beberapa tetamu kehormat turut hadir pada sessi lawatan itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Pada pembedahan yang diadakan pada petang Rabu, Kamal dilaporkan berjaya mengeluarkan gumpalan urat dengan radius 3 sentimeter di kepalanya.
Dengan hasil sumbangan Aznil dan Astro ini, berakhirlah kempen derma buat Kamal Affandi dari forblogger, untuk meneruskan program kempen derma, pihak forblogger berharap sumbangan dari rakyat Malaysia dapat diberikan kepada insan lain seperti kes Basri yang memerlukan tempurung kepala tiruan.
– Info Terkini @ forblogger.net


