Black atau nama sebenar, Hanifah Md. Hanafiah, 25, kini di laporkan bertekad untuk menyaman penulis gosip yang menyebar cerita beliau bercuti dan menginap bersama teman wanitanya di sebuah hotel yang sama.
Itulah kenyataan terbaharu daripada penyanyi yang dikenali dengan nama Black ini. Nama Black tiba-tiba menjadi kontroversi berikutan laporan tersebut.
Biarpun Black sendiri sudah mengakui kepada media bahawa percutian bersama kekasihnya pada awal tahun lalu itu turut disertai oleh tiga lagi rakan mereka, namun Black kesal apabila isu tersebut dikaitkan pula dengan agama.
Selepas sahaja gosip tersebut muncul menerusi sebuah akhbar mingguan, kesabaran dan amarah Black sememangnya tidak dapat dibendung lagi.
Penulis gosip tersebut bukan setakat mendakwa Black dan kekasihnya itu bersekedudukan, tetapi turut melabelkan Black sebagai tidak ada agama kerana melakukan perkara itu (bersekedudukan).
“Kenapa isu ini boleh timbul sekarang, sedangkan cerita saya pergi bercuti bersama kekasih yang kini merupakan bekas kekasih dan rakan-rakan ke Pulau Redang sudah lama.
“Kami pergi ke sana pada bulan Januari lalu. Kalau ingin menulis cerita mengenai saya sekalipun, janganlah sehingga mengaitkan isu agama,” ujarnya yang marah dengan penulis ruangan gosip akhbar mingguan tersebut.
Kata Black, sebagai seorang Islam dia masih tahu batas-batas agama dan tidak akan sesekali melakukan perbuatan terkutuk (bersekedudukan) itu.
Tambah Black lagi, dia mempunyai ibu bapa yang telah mendidiknya dengan baik. Malah, dia juga tahu hukum agama hasil pengajian menerusi sekolah agama ketika bergelar pelajar.
“Orang tengok saya sentiasa senyum dan baik, tetapi janganlah buli saya. Mungkin saya tidak ada kontroversi dan penulis tersebut sengaja menciptanya. Kalau kontroversi itu membina, saya boleh terima. Namun yang menjatuhkan (reputasi), saya tidak boleh terima,” jelasnya yang sehingga kini masih terasa hati dengan penulisan penulis gosip tersebut.
Menutup kata, Black berkata, sebagai individu, dia ada hak untuk bercuti dengan siapa dan ke mana sahaja. Dia tidak perlu berasa kesal kerana tidak melakukan perbuatan yang dilarang ketika bercuti.


{ 1 trackback }