Ciri-ciri lelaki dayus, tidak masuk syurga

Ciri-ciri lelaki dayus, tidak masuk syurga

LELAKI dayus, terlalu banyak intipati dalam isu ini kerana tuntutan tanggungjawab wajib seorang suami dan ayah terlalu banyak untuk dibincangkan. Bagi meringkaskan tazkirah ini, ianya akan fokus kepada “Lelaki dayus yang tidak akan masuk ke Syurga yang dimaksudkan Rasulullah saw” sahaja dahulu.

Nabi SAW bersabda:

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS” – Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278.

Dalam sebuah hadith lain pula:

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ – تَبَارَكَ وَتَعَالَى – عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa serta suami dan si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya” – Riwayat Ahmad

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah dimaksudkan sebagai lelaki dayus.

Erti Dayus

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:

1. Sabda Nabi:

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak”

lalu sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?,”

berkata nabi : “Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahli keluarganya (Isteri dan anak-anaknya) – Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2. Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama pernah diajukan dari sahabat lain tentang siapakah dayus, lalu Nabi menjawab (sepeti dibawah):

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله

Ertinya:
Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?.
Jawab Nabi : Iaitu seseorang lelaki yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya ( steri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

هو الذي لا يغار على أهله

Ertinya : “seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama juga dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus. Imam Az-Zahabi menerangkan berkenaan dayus dengan katanya :-

الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat” – Al-kabair, 1/45.

Cemburu yang dituntut

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta agak merumitkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, dinasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan’ kepada isteri‘ oleh sebilangan jahil.

Sebenarnya ia adalah satu tuntutan untuk yang beragama Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya (jika anda Islam).

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya serta ketaatannya kepada suami.

Nabi SAW bersabda :

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة

Ertinya : “Dari tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak)” – Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168.

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan dan status kepada saya (Penulis) menyebut tentang keterlanjuran mereka secara ‘ringan’ dan ‘berat’, mereka ingin mengetahui cara bertaubat.

Semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda, dan anggaplah cakap-cakap yang menhalang usaha ini sebagai bisikan Syaitan.

Suami juga patut sekali sekala menyemak handphone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Penulis tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

“habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?”

Jawabnya, juga perlu.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Malah diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi,

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya: Berkata Ubadah bin Somit r.a : “Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku”,

maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi,

lalu nabi menjawab : “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu yang dipunyai oleh Sa’ad? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci itu demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi” – Riwayat Al-Bukhari & Muslim.

Imam Al-‘Aini pula berkata : “Cemburu lawan kepada dayus” ( Umdatul Qari, 18/228 ).

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat ‘protective’ kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya menjauhi apa jua unsur yang boleh menhampiri zina.

Bila lelaki menjadi dayus?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi dayus, berikut antaranya:

1.  Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah, mahupun hanya mata yang menikmati.

2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan siapa (lelaki atau perempuan), serta apa tidak tanduknya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4. Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘sporting’ yang memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10. Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam (seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya).

11. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14. Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

15. Membiarkan kemungkaran dan keingkaran ‘tanggungannya’ (isteri dan anak-anaknya yang derhaka).

Pesanan penulis

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda menarik mereka ke neraka atas sebab dayus, yang tiada ruang untuknya ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa dihina oleh ‘bisikan syaitan’ atau bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : “Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka tergolong ia adalah mati syahid” – Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout

- Ustadz Zaharuddin, Info Agama @ forblogger.net

Black Hat

Hi Black Hat adalah admistrator dan SEO player di forblogger.net news portal. Black Hat juga adalah salah seorang Reporter dan Writter daripada lainnya. Organisasi kami ditegah menyebelahi mana² organisasi politik dan lainnya, hanya sekadar menyiarkan berita secara neutral dari pelbagai kategori.