DJ diculik nyaris jadi mangsa bunuh dan bakar

by Black Hat on 2 October, 2012

in Info Terkini

Share:

DJ diculik nyaris jadi mangsa bunuh dan bakar

JOHOR BAHRU: Seorang DJ di stesen radio Best 104 di sini nyaris lagi menjadi mangsa bunuh dan bakar selepas diculik dan dilarikan lebih sepuluh lelaki tidak dikenali dalam kejadian jam 1 pagi, Sabtu lalu.

Menceritakan detik-detik cemas dilaluinya itu, Julie Diana Omar Shariff, 34, berkata, selepas habis bekerja pada hari itu, dia terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Sungai Danga, di sini.

“Saya memandu seperti biasa melalui Lebuhraya Persisir Pantai dan terkejut apabila tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah terus menuju ke depan menghalang Proton Neo yang saya pandu.

“Kemudian seorang lelaki keluar daripada kereta tersebut, sebelum kereta saya dihimpit pula di sebelah tepi oleh sebuah Kereta Wira yang juga datang secara tiba-tiba,”

jelasnya membuka cerita.

Menurut DJ Best 104 itu, segala-galanya berlaku begitu pantas sehingga dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut membuka pintu kereta saya lalu mengacukan pisau Rambo ke leher. Dia menarik saya keluar dan memaksa menaiki keretanya.

“Sebaik sahaja saya masuk, muka saya segera diserkup dengan kain kemudian tangan pula diikat,”

katanya kepada wartawan sewaktu ditemui di rumah keluarganya, di sini.

Diculik kerana cinta tak berbalas

Menurut Julie Diana, apabila bertanya mengapa dia diperlakukan sebegitu rupa, salah seorang daripada penjenayah tersebut memberitahu mereka datang dari jauh selepas diarahkan oleh seseorang untuk menculik kemudian membunuh dan membakarnya kerana cinta tidak berbalas.

“Kepala saya mula ligat memikirkan siapa yang dimaksudkan kerana saya memang tak ada langsung masalah percintaan, sekadar ramai peminat sahaja. Itupun kerana tugas saya sebagai penyampai radio,”

katanya yang menganggarkan ada dua atau tiga lelaki turut sama berada dalam kenderaan berkenaan.

Tambah Julie Diana lagi, menerusi perbualan walkie-talkie yang digunakan penjenayah tersebut, dia terdengar rancangan mereka untuk membawanya ke sebuah gudang di Batu Pahat untuk dibunuh.

“Berderau darah saya mendengarnya masa tu. Apatah lagi, bagi membuktikan tindakan mereka serius, ibu jari dan leher saya dihiris dengan pisau Rambo sehingga luka sebagai tanda amaran,”

katanya.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, penjenayah itu berhenti di satu tempat.

“Kebetulan kain yang menutupi muka saya tersingkap sedikit, dan dari situ saya dapat lihat kami berada di kawasan tanah perkuburan Cina. Ada ramai kelibat lelaki di situ dengan bunyi kenderaan yang banyak. Saya rasa mungkin lebih daripada sepuluh lelaki. Salah seorang daripada mereka kemudiannya meminta saya menyerahkan wang, barang kemas dan kad ATM bersama nombor pin,”

katanya yang terus menyerahkan apa yang diminta tanpa banyak soal lagi.

chead: Penjenayah bagi duit RM51 untuk Julie isi minyak

Julie Diana berkata, menyedari kawasan itu dilalui banyak kenderaan, mereka pun kemudian berbincang dan mengubah rancangan.

“Saya kemudian disuruh menaiki kereta saya sendiri bersama empat lelaki lain dan dibawa ke sebuah kawasan ladang berhampiran Bukit Batu, Kulaijaya. Dalam hati ketika itu, hanya ALLAH yang tahu betapa takutnya saya kerana merasakan waktu kematian betul-betul hampir tiba,”

ceritanya dengan tenang.

Bagaimanapun Julie Diana lega kerana bernasib baik apabila sampai di lokasi dimaksudkan, keempat-empat penjenayah itu memberitahu yang mereka tidak sampai hati pula untuk membunuhnya.

“Mereka membuka ikatan tangan saya, tetapi masih membiarkan muka tertutup. Kemudian mereka beritahu saya, ‘Kak, bila kami tinggalkan akak kat sini, akak tolong larikan diri, ya’,

“Mereka juga beri saya duit sebanyak RM51 untuk isi petrol minyak, lesen memandu dan sebotol air mineral dan terus larikan diri dengan menaiki sebuah kereta lain yang mengekori dari belakang,”

katanya lagi.

Menurutnya, sebaik sahaja penjenayah itu berlalu, tanpa berfikir panjang dia membuka kain yang menutup wajahnya dan terus memandu laju sehingga bertemu seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bukit Batu, Kulaijaya untuk memohon bantuan.

Julie Diana berkata, dia menceritakan segala yang telah terjadi kepada pengawal keselamatan itu dan memintanya menghubungi nombor telefon pejabat.

“Saya dah jadi tak ingat apa-apa, yang muncul di fikiran hanya nombor pejabat. Saya minta pengawal keselamatan itu hubungi rakan sekerja supaya mereka dapat maklumkan kepada keluarga,”

katanya.

Pengalaman mencemaskan selama empat jam lebih itu benar-benar memberi banyak pengajaran kepada Julie Diana.

“Saya sangat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana tidak diapa-apakan masa tu,”

katanya.

Menurutnya, dia menganggarkan kerugian yang dialaminya mencecah RM20,000.

Julie Diana kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Bemban, Kulaijaya dan Balai Polis Taman Impian Emas pada hari yang sama juga.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai suspek jam 4 petang semalam tersebut.

“Kami kini sedang memburu tiga hingga lima lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,”

kata Dr Hashim.

- Info Terkini @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: