PETALING JAYA: Johan As’ari menganggap imej seksi yang ditampilkan Nabila Huda semasa Anugerah Blokbuster yang berlangsung Sabtu lalu bukanlah gambaran terhadap tuduhan kejahatan wanita itu secara menyeluruh.
Komen Johan, 26, masyarakat tidak seharusnya menilai anak kepada penyanyi terkenal, Amy (Search) itu hanya kerana pakaian seksi yang digayakan sebaliknya perlu melihat sisi dalaman Nabila.
“Pakaian bukan ukuran untuk menggambarkan keperibadian dirinya kerana sepanjang saya mengenali Nabila, dia adalah seorang sahabat yang baik, cukup mengambil berat dan mementingkan keluarga.
“Malah jika tiada sebarang aktiviti dia lebih gemar duduk di rumah bersama anaknya,” ujar Johan ketika dihubungi wartawan.
Kata Johan As’ari ketika di minta mengulas imej seksi yang ditampilkan Nabila semasa hadir pada majlis Anugerah Blokbuster yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dekat sini Sabtu lalu.
Selain itu, cara pemakaian Nabila turut mendapat reaksi bapanya, Amy yang kurang senang dengan imej berkenaan kerana ia boleh mengundang kontroversi buruk terhadap Nabila sendiri.
Amy yang turut berada pada majlis itu dikatakan telah menasihati Nabila supaya menutup dengan selendang pada bahagian badannya yang terdedah.
Sementara itu Johan memberitahu, semasa bertemu pada malam anugerah itu dia telah melihat Nabila dalam keadaan yang agak sopan apabila bahagian yang dimaksudkan telah ditutup dengan selendang.
“Saya tidak tahu sejauh mana pakaian tersebut dikatakan terdedah kerana semasa berjumpa dengannya dia mengenakan selendang untuk menutupi bahagian yang terdedah itu.
“Saya yakin dia tahu apa yang dilakukan dan bijak membawa diri. Selebihnya saya tidak berani nak komen,” ujarnya.
Sementara itu, Johan sempat menafikan desas-desus hubungannya dengan wanita tersebut yang dikatakan pasangan bercinta sebelum ini renggang disebabkan tidak mendapat restu keluarga.
Menurut Johan, keluarganya tidak pernah menghalang dia berkawan baik dengan Nabila dan turut merestui hubungan rapat yang terjalin di antara mereka.
“Tidak pernah timbul soal tidak mendapat restu keluarga kerana kami bukannya bercinta. Namun saya akui kami sudah jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Bagaimanapun dia masih sahabat baik saya,” katanya.

