
KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa para kumpulan gerakan memurtadkan umat Islam negara ini kini semakin agresif di dalam negara, termasuk dengan menjadikan premis awam seperti hospital sebagai kawasan sasaran.
Pendedahan itu telah dibuat Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), A Karim Omar, di sini, semalam.
Katanya, kumpulan gerakan itu menyasarkan umat Islam yang kurang berkemampuan dan mempunyai masalah sosial sebagai sasaran mereka, selain pesakit dalam wad yang tidak berkeluarga atau keseorangan.
Beliau berkata, antara kaedah diguna untuk meracuni pemikiran golongan sasaran mereka termasuk memberi kaunseling kepada individu bermasalah dan juga bantuan kebajikan.
Pergerakan mereka cukup halus
“Pergerakan mereka cukup halus… cukup tertib sehingga kita tidak menyangka di sebalik bantuan dihulurkan ada terselit dusta dan hasutan menyimpang ajaran agama lain. Kebanyakan individu yang didekati pula memang memerlukan tempat untuk berkongsi masalah dan dalam kesempitan.
“Lama kelamaan, mereka akan termakan pujukan dan bersedia melakukan apa saja kerana termakan dakyah bahawa agama lain lebih mengambil berat terhadap mangsa, amat berperikemanusiaan, tidak seperti Islam yang terlalu tegas dalam peraturan dan perundangannya,”
katanya membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dakwah Islamiah Dalam Mendepani Gerakan Pemurtadan di Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Karim berkata, malah lebih mengejutkan apabila gerakan itu turut menggunakan buku tulisan tokoh motivasi terkenal sebagai bahan rujukan.
Waspada beli buku motivasi
“Jadi, berwaspada apabila membeli buku motivasi. Di sebalik kata-kata motivasi, ada terkandung secara halus ajaran agama lain untuk memperdayakan para umat Islam,”
katanya.
Tambahnya, adalah lebih membimbangkan bila gerakan itu turut menggunakan kalimah yang berbunyi seperti ayat al-Quran apabila dibaca untuk mengelirukan umat Islam.
“Apabila kalimah ini dibacakan kepada penganut agama Islam, mereka yang bukan hafiz pasti tidak dapat membezakan akan ketulenannya. Ini satu tindakan dan helah jahat,”
katanya.
Gejala ini katanya, hanya boleh ditangkis jika wujud permuafakatan yang kental antara rakyat dan pemerintah untuk menghalusi perkara ini hinggalah ke akar umbi. – Info Agama @ forblogger.net
