Marina Juki dan Johan Mohon Maaf Berikutan Isu Pengurus

by Harian Malaya on 11 October, 2012

in Info Artis

Share:

Marina Juki dan Johan Mohon Maaf Berikutan Isu Pengurus

Marina Juki, pengurus yang menguruskan Johan As’ari turut menjelaskan isu pengurus dan membuat permohonan maaf sekiranya perbuatannya dalam tidak sedar menyinggung perasaan Amy Search.

Tambah Marina, sebolehnya dia tidak mahu memanjangkan lagi hal ini.

“Saya sebenarnya tak mahu memberikan sebarang komen kerana enggan memanjangkan isu ini. Lagipun saya hormati dan memandang nasihat abang Amy kepada Johan seperti dibualkan mereka dalam twitter sebagai peribadi dan sikap ambil berat seorang yang lebih senior dalam industri kepada pendatang baru.

“Atau boleh disifatkan nasihat seorang ayah kepada ayahnya. Saya langsung tidak ambil hati cuma apabila ada beberapa pihak media mengesan hal ini dan mahukan komen saya, maka saya terpaksa memberikan kerjasama kerana saya menghormati tugas mereka.

“Bagaimanapun, pada kesempatan ini, ingin saya jelaskan saya memang tidak pernah masuk campur urusan peribadi Johan. Cuma apabila kerap keluar gosip cinta, wajarlah saya menasihati Johan untuk tidak terlalu kongsi hal peribadi pada umum. Bimbang nanti ramai yang bosan dan cerita sebegitu akan menenggelamkan kisah kerjayanya.

“Apatah lagi dia masih baru, kami di pihak pengurusan ingin ketengahkan bakat dia berbanding kisah peribadi. Saya percaya pada bakat dia dan dia seorang bakat muda yang boleh pergi jauh dalam industri serta menjadi ikon seperti artis senior yang lain.

“Johan bukan saja seorang pelakon yang komited tetapi saya mengagumi sifatnya yang sangat menghormati orang. Jadi memang tidak timbul isu mengongkong itu, apatah lagi menghalang dia bergaul dengan abang Amy dan keluarga yang saya sendiri hormati walaupun tidak berpeluang kenal secara rapat.

“Saya berharap, kontroversi ini ditamatkan segera dan saya juga minta maaf jika ada perbuatan saya dalam keadaan tidak sedar menyinggung perasaan pihak (Amy) sana,” katanya.

Dalam pada itu, Johan As’ari yang turut diminta mengulas hal yang sama, mengirimkan khidmat pesanan ringkas kepada wartawan sambil menafikan dirinya dikongkong oleh pengurusnya itu.

“Sepanjang saya bernaung di bawah Wire Fame, tiada sebarang masalah. Waima, pelbagai keistimewaan yang saya dapat. Kak Marina sangat profesional. Dia tidak pernah kongkong saya.

“Saya pun terkejut dengan teguran ‘uncle’ namun saya ambil segala teguran itu sebagai tanda rasa hormat saya pada seorang yang lebih lama dan lebih berpengalaman dalam industri seni kita. Saya harap hal ini janganlah diperbesarkan lagi.

“Saya gembira pada malam Anugerah Blokbuster. Semuanya ok, ‘but a bit hectic’ kerana saya ada urusan lain juga malam itu. Waktu terserempak dengan ‘uncle’ di belakang pentas, saya sempat bersalaman dan ucapkan ‘good luck’ untuk persembahannya malam itu.

“Saya mohon maaf andai silap dan khilaf saya kepada kedua-dua pihak menimbulkan salah sangka. Saya juga minta maaf kepada ‘uncle’ sekiranya tersinggung perilaku saya di hadapannya setiap kali bersama pengurus.

#Dengan penjelasan Amy, Marina dan Johan ini, rasanya isu ini sudah pun selesai. Tak perlu lahwartawan bertanyakan perkara ini lagi. Alhamdulillah, yang penting semuanya berjalan baik dan lancar tanpa sebarang masaalah.

Info Artis @forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: