
BANGI: Seorang nenek 10 cucu telah mencuri perhatian ramai apabila menjadi penerima ijazah sarjana muda tertua pada majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-40, di sini, semalam.
Bersandarkan semangat yang tinggi dan pegangan menuntut ilmu hingga ke liang lahad, pesara guru, Rayah Abd Ghani, 74, dari Panchur Jaya, Seremban, Negeri Sembilan membuktikan warga tua mampu menggenggam ijazah biarpun sudah lanjut usia. Beliau mengikuti pengajian jarak jauh UKM sejak 2008.
Ibu kepada dua anak lelaki berasal dari Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru yang juga pengasas dua rumah kebajikan untuk ibu tunggal dan anak yatim persendirian di Seremban itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Al-Quran dan Sunnah selepas menamatkan pengajian jarak jauh selama empat tahun bermula 2008.
Sentiasa positif
Beliau yang menamatkan pengajian Diploma Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) pada 2004 dan aktif mengajar agama di surau serta masjid sekitar Seremban juga berpendapat, belajar pada usia lanjut dapat mengaktifkan dan menyihatkan daya pemikiran serta meningkatkan pengetahuan.
“Memang menjadi cita-cita saya sejak muda mahu menggenggam segulung ijazah, namun ketika itu tidak berpeluang kerana terikat dengan komitmen kerjaya dan keluarga.
“Apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di UKM pada usia 70 tahun, saya tidak fikir panjang dan terus sahaja terima.
“Saya tidak fikirkan kesukaran bakal dialami kerana belajar pada usia tua, sebaliknya positif dan akhirnya saya telah berjaya.
“Saya gembira kerana dua anak serta keluarga dan rakan memberikan semangat juga galakan yang tidak berbelah bagi.
“Jika dahulu ketika anak berusia tujuh tahun saya menghantar mereka ke sekolah, pada usia saya 70 tahun kini mereka pula hantar saya masuk belajar hingga akhirnya saya memegang segulung ijazah,”
katanya.
Jadi contoh
Rayah berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian, beliau tidak pernah putus asa, malah berbangga kerana menjadi contoh kepada belia kini yang jauh lebih muda. – Info Pendidikan @ forblogger.net
