Norman Hakim akui dia reda dengan ketentuan Ilahi setelah melihat betapa baik dan akrabnya hubungan Memey Suhaiza dengan bekas isterinya Abadi Abady. Malah, dia turut menyifatkan bahawa apa yang berlaku ini adalah rahmat buat dirinya, isteri, anak-anak dan juga Abby.
Menurut Norman, dia tidak pernah terfikir akan berdepan dengan situasi seperti sekarang. Tetapi baginya, sebagai suami dan seorang yang beragama Islam dia memandang perkara tersebut sebagai satu kebaikan dan sentiasa melihatnya dari sudut yang positif.
“Pada mulanya saya ada juga muhasabah diri dan cuba melihat apa yang berlaku ini daripada pelbagai sudut. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah perkara yang bagus dan membawa kepada kebaikan, jadi bagi saya ianya bukanlah satu masalah.
“Tanggungjawab saya kini hanya untuk keluarga dan orang tua saya, jadi fokus saya kini untuk mencari kebahagiaan yang mutlak. Apa sahaja perkara yang menyumbang ke arah itu terutama sekali untuk anak-anak saya terima dengan terbuka,”jawabnya tenang.
Malah tambah Norman lagi, dia telah meletakkan diri dia kini dalam keadaan bersedia untuk menerima apa sahaja kemungkinan yang mungkin akan berlaku dengan situasi sekarang ini.
“Saya kena faham situasi yang berlaku di mana anak-anak saya juga merupakan anak kepada Abby. Cuma sekarang isteri saya dan bekas isteri saya mempunyai hubungan baik sesama mereka. Jadi sebagai suami dan bapa, ianya adalah perkara yang positif.
“Untuk diri sendiri pula, saya akan terima sebarang risiko daripada hal yang berlaku sekarang. Memang ada yang akan bercakap mengenai hal ini (Memey dan Abby sudah berbaik) dan saya bersedia untuk sebarang kemungkinan.
” Cuba untuk kuatkan iman, berpikiran terbuka dan faham bahawa Islam itu bersifat syumul (sempurna dan menyeluruh), InsyaAllah kita sentiasa dipeliharaNya,”ucap Norman mengenai pemahaman dan penerimaannya dengan situasi kini.

