KUALA LUMPUR – Pasukan bolasepak kebangsaan mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Hong Kong pada perlawanan persahabatan di Stadium Mongkok, Hong Kong, malam tadi.
Dalam perlawanan yang disiarkan di Astro Arena itu, skuad Harimau Malaya berpeluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi pemain Negeri Sembilan, S.Kunanlan namun sepakannya terkena tiang gol pasukan tuan rumah.
Tiga minit kemudian, cubaan pemain tengah negara dari Kedah, Baddrol Bakhtiar ditepis keluar oleh penjaga gol Hong Kong, Yapp Hung Fai.
Pada separuh masa kedua, skuad negara mengubah rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Hong Kong dan hasilnya, penyerang negara yang bermain dengan kelab Pelita Jaya di Indonesia, Mohd Safee Sali membuka tirai jaringan pada minit ke-59.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran Kunanlan kepada Mohd Safee yang berjaya memperdaya dua pertahanan pasukan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Hung Fai.
Safiq Rahim menggandakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-81 menerusi sepakan percuma yang cantik dari luar kotak penalti pasukan Hong Kong.
Ahmad Fakri Saarani dengan bergaya melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Malaya dengan gol ketiga pada masa kecederaan.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu tahun lepas yang menyaksikan skuad kebangsaan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong di Kuala Lumpur pada Feb 2011 sebelum terikat seri 1-1 pada perlawanan ulangan di Kowloon pada Jun.
Kemenangan ini sedikit sebanyak berjaya menutup rasa kecewa selepas kekalahan Malaysia dalam satu lagi perlawanan persahabatan sebelum ini bertemu Vietnam.

