TEMERLOH – Seorang pesakit lelaki di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat enam bangunan hospital tersebut kira-kira jam 8.50 pagi semalam.
Kejadian tersebut disedari beberapa petugas HoSHAS awal pagi semalam selepas mangsa jatuh berhampiran pejabat bahagian pembersihan di hospital terbabit.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Superintendan Zundin Mahmood, mangsa Wong Kuew Yoon 37, beralamat di Setapak Kuala Lumpur mati serta merta akibat kecederaan parah di seluruh badan.
“Polis masih punca kejadian tetapi setakat ini kami anggap satu kemalangan,” kata Zundin Mahmood.
Menurut seorang petugas wanita yang enggan dikenali, ketika bertugas jam 8.50 pagi semalam dia terdengar bunyi jeritan dan bunyi benda jatuh dua kali.
“Pada mulanya saya ingatkan ada orang bergaduh, ketika menjenguk keluar tingkap saya nampak objek besar jatuh betul-betul di atas jalan berhampiran parkir motosikal petugas HoSHAS.
“Saya kemudian turun dan lihat mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Pengarah HoSHAS, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, mangsa dimasukkan ke HoSHAS kelmarin selepas terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah lori.
Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar orang ramai mendapatkan rawatan di HoSHAS sebelum ditemui mati pagi semalam.
Sementara itu beberapa petugas HoSHAS yang menceritakan kejadian berkata, mereka terdengar bunyi jeritan sejurus sebelum mangsa ditemui mati.


{ 1 trackback }