
RAMALLAH: Kubur Yasser Arafat akan digali semula untuk ujian keracunan ke atas rangkanya selepas balu Allahyarham, Suha dan Pihak Berkuasa Palestin meragui siasatan sebelum ini.
Jurucakap Palestin berkata, kubur Arafat akan digali semula pada satu tarikh yang dirahsiakan supaya pasukan tersebut dapat mengambil sampel untuk membuat ujian keracunan sekali lagi.
Menurutnya, pasukan penyiasat dari Perancis dan Switzerland akan menjalankan siasatan bersama ke atas kematian pemimpin itu, yang meninggal dunia pada tahun 2004 lepas.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu akan bertindak secara berasingan,menuut laporan Associated Press (AP), semalam.
Desakan mengkaji semula kematian timbul selepas makmal Switzerland mendakwa menemui polonium-210, sejenis isotop radioaktif yang boleh membawa maut pada pakaian yang dikatakan adalah milik Arafat.
Hal tersebut menyemarakkan lagi syak bahawa pemimpin itu telah diracun.
Sementara itu, pasukan penyiasat jenayah dari Perancis itu telah dipanggil menyiasat atas permintaan Suha manakala Pihak Berkuasa Palestin menjemput saintis dari Switzerland untuk memeriksa mayat pemimpin itu bagi mengetahui punca kematian beliau yang masih kekal misteri.
Laporan sebelum ini mendakwa beliau meninggal dunia kerana strok, bagaimanapun ada sumber yang mengatakan selama beberapa minggu sebelum meninggal, penyakit sebenar beliau tidak jelas kelihatan, sehingga membawa kepada teori-teori konspirasi.
Arafat, 75, meninggal dunia di hospital tentera Perancis pada 11 November 2004, dua minggu selepas dia dikejarkan ke sana dari Tebing Barat selepas diserang oleh penyakit misteri.
Jika mengikut rekod perubatan Perancis, beliau telah mengalami keradangan, penyakit kuning dan mengalami pembekuan darah di sarafnya (DIC).
Bagaimanapun, dunia Arab percaya dia telah dibunuh oleh Israel dan pihak Israel dengan lantangnya pula menafikan perkara itu.
Yasser Arafat merupakan wajah perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan yang diperjuangkan selama empat dekad dan kekal menjadi pemimpin yang disayangi rakyat Palestin. – Info Terkini @ forblogger.net
5 info berkaitan...
- Penyanyi Zzati, Bukan Penyebab Wan Zack Pulang Ke Malaysia
- Ahli perniagaan Saudi tawar 10 juta dollar sesiapa bunuh Hassan Nasrallah
- Orang Islam Myanmar terpaksa berlindung di biara
- Bayi terselamat dari paip kumbahan keluar hospital
- Polis terima 5 laporan kenderaan dirosakkan dalam insiden kekecohan Piala FA
