Buat Laporan Polis Berhubung Kenyataan Irene Fernandez

 

KUANTAN – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pahang hari ini telah membuat laporan polis berhubung isu kenyataan Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez serta organisasi amal antarabangsa, Equal Right Trust (ERT) yang mencadangkan hak Bumiputera di negara ini dimansuhkan.

Ketua Penerangan Perkasa Pahang Muhamad Faiz Hashim membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Beliau yang diiringi kira-kira 20 pemimpin dan anggota Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Majlis Belia negeri serta beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO).

Bercakap kepada pemberita setelah membuat laporan itu, Muhamad Faiz berkata Perkasa juga mendesak Irene dan ERT membuat permohonan maaf dengan terbuka kepada semua penduduk Bumiputera di negara ini.

Sebuah portal berita semalam menerbitkan artikel hasil kajian ERT dan Tenaganita menyatakan kononnya kewujudan Perkara 89 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan hak Bumiputera adalah antara faktor di sebalik diskriminasi kaum di Malaysia. – Info Politik @ forblogger.net