Dakwaan Polis Rogol Wanita Indonesia, Bendera Malaysia Dibakar!

 

JAKARTA – Berikutan isu 3 anggota polis Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Pulau Pinang baru-baru ini menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara di sini pada Selasa.

Demonstrasi yang diadakan pada pukul 1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari republik tersebut selain bertindak membakar bendera Malaysia untuk menunjukkan kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita berusia 25 tahun itu.

Kejadian demonstrasi itu telah diadakan kira-kira 100 meter dari Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia kerana pihak polis Indonesia telah menutup jalan di hadapan kediaman tersebut serta menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada beraksi di hadapan kediaman itu.

Kumpulan penunjuk perasaan juga turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas berhubung kejadian tersebut dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari republik itu.

Mereka telah menyalahkan Yudhoyono atas dakwaan gagal melindungi warganegara Indonesia di Malaysia serta meminta Presiden Indonesia itu mengundurkan diri sekiranya beliau gagal mengusir Duta Besar Malaysia.

Dalam demonstasi selama 50 minit itu, beberapa peserta termasuk kanak-kanak dan juga wanita memegang kain sepanduk berwarna merah yang antara lain bertulis ‘Usir Duta Besar Malaysia, Ganyang dan lawan Malaysia’.

Pasukan Polis Indonesia, termasuk anggota dari unit pemusnah bom, bertindak mengawal ketat di kawasan sekitar Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu sepanjang demonstrasi berlangsung.

Sejumlah besar anggota polis Indonesia juga turut berkawal di luar bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jalan H.R. Rasuna Said, Kuningan untuk mengawal keadaan sejiranya berlaku demonstrasi di situ, namun bas yang membawa kumpulan dari Bendera itu hanya melalui kawasan tersebut. – Info Terkini @ forblogger.net