Ketua Pengarah Kesihatan didenda, khalwat dengan isteri orang

 

Ketua Pengarah Kesihatan didenda RM3,000 kerana khalwat

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat.

Seandainya Dr Hasan, 56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.

Beliau didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai di kementerian yang sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini pada kira-kia jam 2.18 pagi hari ini.

Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda tersebut.

Mereka membayar denda itu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.

Dr Hasan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika mereka sabit kesalahan.

Masih isteri orang yang sah

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat dari orang awam.

Pasukan itu kemudiannya mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan yang berbaju kemeja berwarna biru serta berseluar coklat.

Selepas dibenarkan masuk oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil bilik hotel berkenaan.

Hasil siasatan lanjut mendapati Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi isteri yang sah kepada pasangannya.

Ketika merayu hukuman ringan, Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf. – Info Terkini @ forblogger.net