Kuswadinata Kini Stabil, Akan Jalani Rawatan Susulan

by Harian Malaya on 2 November, 2012

in Info Artis

Share:

KUALA LUMPUR: Kuswadinata, 74, yang kini berada di rumah akan dimasukkan semula ke Hospital Ampang dalam waktu terdekat bagi menjalani rawatan susulan terhadap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Kuswadinata Kini Stabil, Akan Jalani Rawatan Susulan

Menurut isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata, selain rawatan susulan, suaminya itu akan menjalani kemoterapi yang dijadualkan pada 23 November depan.

“Selepas dibenarkan keluar daripada hospital pada 24 Oktober lalu keadaan beliau stabil namun doktor mahu suami saya dimasukkan ke hospital semula bagi memantau keadaan dan menjalani rawatan susulan terhadap penyakit yang dihidapinya,” ujarnya ketika ditemui semasa lawatan Ketua Wanita Umno, Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah, di kediaman pelakon itu di Ampang.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan seniwati, Datuk Sarimah Ahmad antara yang turut hadir ketika sessi lawatan itu.

Tambah Kamariah lagi, suaminya itu hilang selera makan sejak dimasukkan ke hospital namun beliau tetap mempunyai semangat tinggi untuk melawan penyakitnya yang kritikal.

“Kami sentiasa memberi dorongan kepadanya supaya kuat semangat untuk melawan penyakit dan Alhamdulillahlah saya lihat beliau sangat tabah menghadapi dugaan ini,” jelasnya.

Kuswadinata yang di lihat ceria dengan kehadiran rakan-rakan memberitahu sangat terharu dengan sokongan yang diberikan kepada keluarga dan rakan-rakan seperjuangan yang tidak putus-putus melawat dan menghulurkan bantuan.

“Tidak dapat saya balas jasa mereka sehingga akhir hayat saya kerana tidak jemu-jemu keluarga dan rakan-rakan datang menziarahi saya dari hari saya dimasukkan ke hospital sehingga kini.

“Mereka adalah insan yang membuatkan saya terus bersemangat untuk melawan penyakit yang dihidapi,” ujarnya.

Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang yang kini sedang mengalami pendarahan usus juga mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.

Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, Sarimah yang merupakan rakan seangkatan dengan Kuswadinata memberitahu beliau sangat bersimpati dengan keadaan Kuswadinata dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantunya.

Kuswadinata yang kini memiliki empat  orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25, dan Rizal ,23.– Info Artis @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: