Mayat Dalam Kebun Kelapa

 

Mayat Dalam Kebun Kelapa

SUNGAI AIR TAWAR – Mayat seorang lelaki tempatan ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa milik seorang penduduk di Tebuk Marjan, di sini kira-kira jam 8.10 malam, kelmarin.

Mayat mangsa iaitu Ahmad Kumar Kadni, 43, disedari seorang penduduk selepas menghidu bau busuk dari kawasan kebun berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta berbau dan dipercayai mati dalam tempoh dua sehingga tiga hari.

Tambah beliau, pihaknya  menolak sebarang unsur jenayah berikutan tiada kesan pergelutan di lokasi kejadian.

“Perut mangsa juga didapati pecah dan berulat. Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kami percaya ia disebabkan oleh faktor dadah,” katanya.

Mangsa pernah ditahan beberapa kali sebelum ini di atas kesalahan dadah dan tidak menolak kemungkinan kematiannya disebabkan oleh pengambilan dadah secara berlebihan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam semalam bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian.

Dalam pada itu, menurut seorang saksi, Noraizam Mohd Salleh, 31, berkata, mayat mangsa ditemui apabila ayahnya yang sedang meronda di sekitar kebun pada jam 8 malam mengesyaki sesuatu setelah terhidu bau busuk.

“Sememangnya menjadi rutin ayah saya untuk keluar meronda sementara menunggu masuk waktu solat.

“Ketika melalui kawasan kebun milik keluarga kami, dia terhidu bau amat busuk,” katanya.

Tambah Noraizam, ayahnya kemudian memaklumkan perkara tersebut kepadanya dan ketua kampung serta membawa kepada penemuan mayat tersebut.

Mereka sekeluarga amat terkejut dengan penemuan mayat tersebut dan tidak menyangka selama ini kebun mereka menjadi lokasi bagi kumpulan menghisap dadah.–Info Terkini @ forblogger.net