Tiga bulan RM3j

 

Tiga bulan RM3j

SERDANG: Walaupun baru tiga bulan bergiat aktif, sekumpulan penyamun mampu mengaut keuntungan lebih kurang RM3 juta hanya dengan menyamun 11 kediaman di sekitar daerah Serdang sejak Ogos lalu.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun akhirnya tumpas apabila pihak polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun selepas terserempak dengan mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10 malam di Jalan Bandar 3 Puchong, dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dua lelaki terbabit menaiki sebuah kereta Proton Wira dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Dua suspek terbabit bagaimanapun enggan memberhentikan kereta walaupun diarah, sebaliknya terus memecut ke arah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebelum dipintas oleh kereta peronda polis.

“Berlaku sedikit pergelutan antara anggota dan suspek terbabit, bagaimanapun mereka berjaya diberkas,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, lima lagi suspek termasuk tiga orang wanita warga asing iaitu dua warga Thailand dan seorang Indonesia ditahan di sebuah kondominium di Jalan Putra Mas, Kuala Lumpur, sekitar jam 6.30 pagi.

Katanya, hasil tangkapan kedua, pihaknya membuat serbuan ketiga di sebuah hotel di Off Jalan Klang Lama, di Puchong dan berjaya menahan tiga lelaki sekitar jam 1 pagi, Sabtu lalu.

“Semua yang ditahan berusia antara 22 dan 45 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau bersabit pelbagai kes antaranya samun, pecah rumah dan juga dadah.

“Turut ditahan, seorang lagi lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pembeli barangan yang disamun kumpulan berkenaan di sebuah kedai membaiki televisyen di Puchong Jaya, dekat sini, kelmarin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam – Info Terkini @ forblogger.net