Mahathir: Anwar perlu syukur, bukan kritik kerajaan

 

Mahathir- Anwar perlu syukur, bukan kritik kerajaan

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa Perhimpunan Agung Umno 2012 minggu lalu hanya memfokus strategi mempertahankan kuasa pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu, dengan menegaskan bahawa kerajaan telah menyumbang jasa kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk Ketua Pembangkang tersebut.

Menurut bekas Perdana Menteri kita, Anwar sebenarnya berpeluang mengkritik seperti sekarang disebabkan kebajikan Umno yang turut dinikmati beliau sendiri sekian lama.

Beliau berkata, Anwar tidak akan mendapat kedudukan seperti sekarang dan berpendidikan tinggi sekiranya Umno tidak memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pelajaran di institusi berprestij, yang dahulunya dikhaskan untuk golongan kerabat diraja sahaja.

Anwar pernah melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Kata Dr Mahathir, Anwar sepatutnya perlu berterima kasih kepada kerajaan BN sekarang yang banyak membantunya untuk menjadi seorang pemimpin.

“Dia dapat bercakap seperti sekarang sebab kebajikan kita, kalau tidak, dia tak ada di situ,” katanya.

“Dia (Anwar) sepatutnya berterima kasih, bersyukur sepanjang masa kerana kerajaan BN inilah, ‘aku boleh bercakap banyak’,” kata beliau pada sidang media selepas program santapan minda Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah tajuk “Politik dan Perjuangan Ekonomi Melayu” anjuran oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu di sini hari ini.

Pada satu sidang media pagi tadi, Anwar mendakwa Perhimpunan Agung Umno yang berakhir kelmarin bertindak sebagai platform pemimpin Umno untuk mengekalkan kedudukan kuasanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, bukannya menjaga kebajikan rakyat dengan membincangkan isu-isu berkaitan rakyat.

Anwar juga berkata, pemimpin Umno yang takut akan kehilangan kuasa juga telah menggunakan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai isu untuk menjejaskan peluang PR.

Anwar dahulunya dipecat dari kerajaan dan parti pada 1998. Ketika itu beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata, sebelum ini Anwar tidak boleh bercakap dan mengkritik di hadapan rakyat sekiranya beliau tidak diberikan peluang pendidikan oleh kerajaan BN dan seterusnya tidak memiliki jawatan seperti sekarang.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 memberitahu, kekayaan ekonomi adalah pencetus kepada kekuasaan politik di malaysia.

Menurutnya, sekiranya mempunyai kekayaan ekonomi seseorang individu boleh mengekalkan kuasanya termasuklah kuasa politik.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa, kuasa politik boleh dipisahkan dan tidak akan kekal seperti memiliki kekayaan ekonomi.”Kuasa politik tidak akan kekal lama dan lebih mudah untuk dipisahkan berbanding kuasa ekonomi.

“Kekayaan ekonomi yang dimiliki oleh seseorang individu akan menjadikannya berkuasa selagi memiliki kekayaan tersebut,” ulasnya.

Justeru kata beliau, orang Melayu akan mampu mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dengan mengamalkan prinsip disiplin.-Politik@forblogger.net