Pemuda Umno Gombak: Kehadiran Anwar tidak dialu-alukan

 

Pemuda Umno Gombak: Kehadiran Anwar tidak dialu-alukan

GOMBAK – Di sebalik insiden ‘politik ganas’ yang disaksikan malam kelmarin, Pemuda Umno menegaskan penduduk kampung tradisi Batu 8 di sini tidak mengalu-alukan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) bertindak menolak fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Rakyat (PR) yang berterusan  menipu rakyat.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang ceramah tetapi tidak suka pengisiannya yang berunsur penipuan yang akhirnya memberikan perasaan benci kepada pemimpin negara.

“Rakyat inginkan jaminan yang bakal dilaksanakan oleh mereka untuk membela nasibnya bukan mendengar ceramah untuk memburukkan pemimpin negara.

“Wakil rakyat Gombak (Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali) yang dilantik (dipilih) sibuk berjuang isu luar tetapi penduduk di sini yang berhadapan masalah banjir sehingga kini masih tidak dibantu,” ulasnya kepada pemberita.

Katanya, tindakan kotor penyokong PR yang membaling objek seperti batu hingga menyebabkan kecederaan adalah kesalahan sebenar parti tersebut yang tidak berani bersemuka dengan pihaknya.

“Mereka turut membawa orang luar untuk memenuhi ruang sedangkan pada malam tersebut penerimaan penduduk di sini adalah hambar.

“Anwar turut menggunakan ruangan yang sempit untuk menunjukkan jumlah penyokongnya yang ramai berbeza pada masa dahulu apabila ceramahnya di padang dan dewan,” katanya.

Malam kelmarin berlaku pertembungan program terdiri ceramah Merdeka Rakyat oleh PR dan Taklimat Pilihan Raya Batu 9 oleh BN hingga menyebabkan pergaduhan ditimbulkan oleh provokasi kedua-dua belah pihak.

Tindakan polis berjaya mengawal keadaan dan meleraikan pertelingkahan penyokong antara kedua-dua parti.-Politik@forblogger.net