Perjalanan Muktamar Pas, AGM Umno dari kaca mata Asri

 

Perjalanan Muktamar Pas, AGM Umno dari kaca mata Asri

SHAH ALAM – Dalam membicarakan mengenai  perbezaan antara Perhimpunan Agung Umno 2012 dan Muktamar Pas, tidak dinafikan apabila kelemahan dapat dilihat kerana liputan secara langsung hanya dibuat bagi satu pihak hampir setiap hari.

“Perhimpunan Umno mendapat liputan penuh di televisyen (media) tetapi tidak kepada Muktamar Pas.

“Perkara ini menutup jalan untuk rakyat membuat perbandingan yang adil terhadap kedua-dua parti,” demikian menurut bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, ketika mengikuti perkembangan kedua-dua parti beliau mengakui Umno lebih pandai bermain dengan perasaan pengundi atas pagar berbanding Pas, yang dilihat lebih banyak bercakap mengenai masalah dalaman parti sahaja.

“Perhimpunan Agung Umno lebih fokus dalam membicarakan mengenai serangan yang bakal dihadapi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan boleh dikatakan dari segi penerimaan imej, Umno lebih berjaya.

“Sedangkan Pas kelihatan lebih kepada bercakap dan cuba mencari masalah yang ditimbulkan di antara satu sama lain hingga menimbulkan kegusaran di kalangan pengundi,” jelas beliau yang menganalisis perjalanan politik kedua-dua Pas dan Umno dari semasa ke semasa.

Beliau menambah, orang dalam Pas sudah terbiasa mengata Umno sama ada dalam dalam muktamarnya ataupun ceramah-ceramah sebelum ini tanpa menyedari ucapan-ucapan itu akhirnya member kesan negatif kepada parti itu sendiri.

Bagaimanapun, Asri berkata, jika dibandingkan Pas hari ini berbanding dahulu, banyak perubahan positif telah dilakukan.

Katanya, imej Pas sebagai pembangkang sudah hampir pulih sepenuhnya apabila Pas kini menjadi pentadbir di beberapa negeri seperti  Kedah dan Kelantan.

“Cara berhujah dan memberikan pandangan juga sudah nampak berubah, sudah nampak kematangan Pas itu.

“Namum, perkembangan tersebut agak tergugat apabila timbul isu doa ‘KO’ BN pada Muktamar. Orang  tidak mempertikaikan doa itu tetapi apabila disiarkan di media, ia memberi gambaran tidak elok terhadap imej matang Pas itu,” katanya.

Ujar Asri, tindakan tersebut tidak menggugat pengundi tetap Pas tetapi akan mengganggu psikologi pengundi atas pagar.-Politik@forblogger.net