Kura-kura Galapagos Hampir Pupus Kerana Serangan Tikus


Tikus merupakan bukan hidupan asli di rangkaian Kepulauan Pasifik. Kini, ia hampir melenyapkan populasi kura-kura dan ancamannya semakin menuju kepupusan menyeluruh.

Helikopter digunakan untuk menyebarkan palet racun tikus di pulau yang tidak didiami oleh manusia.

"Haiwan itu memusnahkan telur-telur dan membunuh spesies tersebut yang masih muda. Ia mengganggu keseimbangan ekosistem semula jadi yang lemah seperti di Galapagos," kata pengarah Taman Alam Semula Jadi Galapagos, Edwin Naula.

Racun tikus telahpun dilepaskan menggunakan helikopter di Pulau Pinzon yang tidak dihuni sebagai eksperimen bagi membuka jalan membasmi masalah kebanjiran makhluk perosak itu.

Setakat ini, kesemua kura-kura di taman alam itu menetas melalui kaedah eraman, kemudian ia dibesarkan dalam kurungan sebelum dilepas ke hidupan liar ketika berumur empat atau lima tahun.

"Kami masih belum bernasib baik dalam usaha membiakkan spesies asal itu dalam habitat liar kerana kehadiran tikus tetapi berharap ia akan berubah sebaik semua tikus tersebut dihapuskan," kata penyelia program konservasi, Christian Sevilla.

Galapagos yang terletak 1,000 kilometer dari pesisir pantai Ecuador merupakan kepulauan yang merangkumi 13 buah pulau dan lebih 100 batu-batuan serta pulau-pulau mikro.

Ia menjadi terkenal apabila pakar evolusi, Charles Darwin melawat kawasan tersebut pada tahun 1835 bagi menjalankan kajian penandaan kawasan.


Kajian tersebut telah menjadi faktor tercetus teori-teori evolusi yang sangat radikal.

Kepulauan itu tidak dihuni apabila orang Eropah mula-mula melawat tempat tersebut pada abad ke-16 tetapi kini populasinya sudah mencapai kira-kira 25,000 orang.

Pakar-pakar menganggarkan terdapat lebih 300,000 ekor kura-kura raksasa tetapi populasi menyusut ketika abad ke-18 dan ke-19 selepas haiwan itu diburu oleh pemburu paus serta lanun sebagai bekalan makanan segar.

Tanpa disedari, penceroboh-penceroboh itu secara tidak sengaja turut membawa makhluk perosak yang lain seperti tikus ke kepulauan itu.


Pada hari ini, antara 30,000 hingga 40,000 penyu dan kura-kura masih hidup di Galapagos. Kawasan semula jadi itu diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1978 kerana keunikan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar.

Bagaimanapun, UNESCO telah mengisytihar persekitaran rangkaian kepulauan itu terancam pada tahun 2007 kerana kenaikan dalam bidang pelancongan dan kemasukan spesies invasif.

Renjer penjaga Galapagos telah melakukan banyak usaha untuk menghapuskan tikus-tikus di seluruh rangkaian pulau itu yang menjadi rumah bagi sekurang-kurang 1,500 spesies flora dan 500 jenis fauna.

Para pakar menganggarkan terdapat antara lapan hingga 12 ekor tikus untuk setiap hektar di kawasan-kawasan serangan.

Selain memberi ancaman pada kura-kura, tikus juga turut menyerang iguana dan cicak. Para penyelidik amat gusar terhadap kemungkinan yang berpunca daripada makhluk perosak itu.

Terdapat juga kebarangkalian bahawa tikus-tikus itu telahpun menghapuskan beberapa spesies yang masih belum ditemui dan direkodkan.

Sebagai langkah memulihara ekosistem Galapagos, organisasi dan kumpulan Konservasi Pulau Amerika Syarikat telah membantu menyebarkan bertan-tan gentelan racun tikus di Pinzon.

Terdapat beberapa kelemahan dalam pendekatan itu termasuk mengelakkan umpan tersebut dimakan oleh penduduk peribumi atau spesies-spesies lain.

Dalam usaha menangani perkara itu, strategi menggunakan burung pemangsa pernah dicuba. Lebih kurang 60 helang dipelihara dalam sangkar di kawasan cerun Pulau Pinzon.

Namun begitu, ahli-ahli alamiah di situ berkata, sekurang-kurangnya seekor burung pungguk ditemui mati selepas memakan seekor tikus yang tercemar dengan racun.

"Itu adalah harga yang perlu dibayar untuk sebuah rancangan bagi membolehkan sistem semula jadi dibaik pulih," kata salah seorang pegawai yang terlibat dalam pengurusan seharian Galapagos, Danny Rueda.

Beberapa jenis burung dan haiwan dilindungi sepanjang usaha membasmi tikus-tikus, ia akan dilepaskan dalam tempoh lebih kurang lima hari, waktu yang cukup untuk racun itu melalui proses biodegradasi.

Jika skim penghapusan itu berjaya di Pinzon, ia akan dipanjangkan ke pulau-pulau lain di rangkaian Galapagos termasuk kawasan yang tidak berpenghuni. - AFP

HOT POST FORBLOGGER HARINI:



APA KOMEN ANDA?

0 comments:

Scroll to top