Kieran dan bekas isteri jadi kawan demi anak-anak

Penyampai radio dan pengacara, Kieran mengaku hidupnya agak kucar kacir setelah bercerai hampir tiga bulan lalu. Namun dia kini sedang dalam proses menyesuaikan diri menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal di samping menjalankan rutin harian serta tanggungjawab terhadap dua orang anaknya.

“Hidup saya tak best, agak kelam kabut. Tapi saya pelan-pelan kayuh lah, kan. Apa nak buat… Saya sibuk dengan kerja di konti juga mengacara. Dan saya juga perlu bahagikan masa dengan anak-anak,” kata Kieran.

Kieran atau nama sebenarnya, Mas Kieran Kajiran, 37, berkata anak-anaknya, Muhammad Adam (4 tahun) dan Muhammad  Iman (2 tahun) yang menjadi kekuatan untuknya meneruskan kehidupan. Mujur juga bekas isterinya, Yang Azliyang Yunus, 30, boleh bertolak ansur dari segi penjagaan anak-anak.

Kieran dan Yang Azliyang bersepakat menjaga anak-anak mereka secara bergilir-gilir dan tidak ada penetapan mutlak siapa yang berhak memiliki dua cahaya mata mereka itu. Malah disebabkan kerana kerap bertemu setiap kali untuk mengambil Adam dan Iman, hubungan Kieran dan bekas isterinya seperti kawan baik.

“Hak penjagaan anak memang mahkamah berikan pada ibunya tapi tidak ada apa-apa perjanjian. Kalau saya ada masa terluang atau tidak kerja, saya akan ambil anak-anak tinggal dengan saya. Kami bergilir-gilir jaga anak, freeflow lah.

“Hubungan kami masih baik. Kadang-kadang kami keluar sarapan bersama. Kami saling berjumpa untuk ambil anak-anak. Misalnya kalau anak-anak bersama dia, setiap pagi dan malam dia akan hantar gambar anak-anak dan beritahu mereka tengah buat apa. Sama juga kalau mereka ada dengan saya, saya akan update, anak-anak tengah buat apa. Demi anak-anak kami jadi bestfriend“, katanya.

Selama empat tahun berkahwin, Kieran berkata jujur dihatinya memang timbul rasa penyesalan dalam diri tatkala menghadapi kegagalan rumah tangga. Tapi tiada apa yang mampu dilakukan melainkan kini fokusnya hanya pada kerja juga memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

“Saya dah lalui hidup tanpa bapa. Saya kasihan pada anak-anak. Sekarang ni saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk mereka.

“Memang, ada rasa menyesal dan rasa susah. Sebelum bercerai saya dah sedaya upaya cuba yang terbaik untuk perkahwinan kami. Tapi bila jatuh talak, saya rasa saya gagal. Mungkin ada hikmahnya dan saya serahkan segalanya pada takdir”, ucapnya sambil menahan genang air mata.

Ditanya adakah dia serik untuk berkahwin lagi atau adakah kemungkinan untuk dia dan bekas isteri rujuk sebaik saja habis edah nanti, jawab Kieran, “Tak tahu lah. Susah nak cakap. Saya tak rasa apa-apa pun. Saya serahkan pada takdir”

Kieran dan Yang Azliyang telah bernikah pada 31 Mei 2008. Tetapi kerana tiada persefahaman, mereka sudah tidak tinggal bersama sejak Mac 2012. Kieran akhirnya menceraikan Yang Azliyang dengan talak satu pada 28 November 2012. -Info Artis @ forblogger.net

 

Black Hat

Hi Black Hat adalah admistrator dan SEO player di forblogger.net news portal. Black Hat juga adalah salah seorang Reporter dan Writter daripada lainnya. Organisasi kami ditegah menyebelahi mana² organisasi politik dan lainnya, hanya sekadar menyiarkan berita secara neutral dari pelbagai kategori.