Patukan Ular Ragut Satu Nyawa, Manakala Tiga Lagi Cedera di Kelantan


Seorang meninggal dunia manakala tiga lagi cedera dipatuk ular berbisa di negeri ini sejak Januari hingga Selasa lepas, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Khairi Ahmad.


Beliau berkata, sepanjang tahun lepas pula, seorang maut manakala empat lagi cedera dipatuk reptilia berbisa itu di Kelantan.

Mangsa yang dipatuk ular itu tinggal di jajahan Kota Baharu, Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selasa lepas, seorang murid perempuan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa di sini, maut akibat digigit haiwan berbisa dipercayai ular ketika waktu rehat.

Allahyarham Nuriey Nadhirah Roslan, 7, dipatuk reptilia itu di betis kiri ketika bermain di kawasan taman di hadapan kelasnya pada waktu rehat, kira-kira jam 10 pagi.

Mohamad Khairi berkata, dalam kejadian Ogos tahun lepas, seorang pemuda Mohd Shahrul Abdul Kadir, (27 tahun waktu kejadian) dari Kampung Kayu Rendang, Melor, maut dipatuk ular tedung ketika sedang mengutip cendawan berhampiran rumahnya.

Sehubungan itu, Mohamad Khairi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan reptilia tersebut dengan memastikan kawasan persekitaran bersih dan tiada bahan-bahan seperti timbunan kayu terbiar sehingga menjadi sarang haiwan berbisa. - Bernama

Jangan lupa Like MyBuletin untuk lebih informasi.

HOT POST FORBLOGGER HARINI:



APA KOMEN ANDA?

0 comments:

Scroll to top