ISIS Isytihar Perang Terhadap Malaysia


PETALING JAYA: Bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Zainuri Kamaruddin yang pernah terlibat dalam pelbagai siri cubaan bunuh dan juga penglibatan dalam rompakan bank bersenjata, telah mengisytihar bahawa kumpulan IS merancang untuk melancarkan serangan terhadap Malaysia.

Berpandukan laporan yang disiarkan The New Straits Times (NST), Zainuri berucap dalam video terbaru kumpulan tersebut bahawa mereka adalah insan terpilih dan berjuang atas nama kebenaran, dan mengakui akan datang untuk berjuang di Malaysia dan Indonesia.

Zainuri yang berumur 49 tahun mengetuai kumpulan kanan IS yang terdiri daripada orang-orang fasih berbahasa Melayu, dan ketika ini dipercayai sedang berperang di Syria dibawah panji IS.

Kumpulan IS melabel Malaysia dan rakyatnya sebagai 'taghut' atau pendosa yang tidak mengikuti suruhan Allah dan perlu diperangi, sepertimana yang diucapkan oleh Zainuri dalam video berkenaan.

Ketua Polis di bahagian Special Branch, Ayob Khan berkata pihaknya sedang memerhatikan gerak geri serta ancaman kumpulan IS berkenaan di negara ini, terutamanya Zainuri, yang mahir menggunakan senjata serta bahan letupan.

Dia difahamkan keluar daripada negara ini pada April 2014 untuk menyertai kumpulan IS di Syria, dan pernah menyelamatkan diri daripada serbuan askar Syria pada bulan Ogos lalu dengan kecederaan kecil sahaja. Rakan Zainuri, Zainan Harith yang berumur 52 tahun yang juga ahli kumpulan tersebut mati dalam pertempuran berkenaan.

Ayob Khan juga berkata pihak mereka sangat mengetahui siapakah yang terlibat di Syria, dan kini dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ancaman IS di kawasan ini.

"Peningkatan dalam statistik melibatkan IS di kawasan ini menunjukkan pertambahan pengaruh mereka dalam negara kita. Kami sentiasa berjaga-jaga, terutama di sempadan bahagian utara negara yang sangat luas, pengaruh IS di selatan Filipina, dan juga sebarang serangan secara individu"

Dalam video berdurasi 16 minit berkenaan juga, terdapat tiga lagi rakyat Malaysia yang turut dikenal pasti sebagai Muhammad Nashrullah Abd Latif, 24, daripada Grik, Perak; Sazrizal Mohd Sofian, 26, dari Seri Kembangan; dan Abd Khalid Dari, 54, yang berasal dari Sik, Kedah.

"Buat masa ini, kami yakin penyokong ideologi IS dalam negara ini tidak mempunyai pengetahuan teknikal dan praktikal mengenai perancangan dan perlaksaan aktiviti keganasan" ujar Ayob kepada wartawan NST.

Ayob turut berkata anggota IS di negara ini tidak mahir dalam pembuatan bom, dan mereka tidak dapat melakukan apa-apa hanya dengan maklumat yang diperoleh daripada internet.

"Kami juga percaya mereka besar kemungkinan sedang mendalami keupayaan ini melalui anggota kumpulan IS lain yang berada di luar negara seperti di Selatan Filipina."

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now