JDT Kini Lebih Besar Berbanding Selangor?


Selangor sering dilabel sebagai kelab bola sepak terbesar di Malaysia, tetapi adakah ianya masih kekal begitu?

Dengan tersingkirnya Selangor dalam saingan Piala AFC musim ini, pasukan bola sepak yang mewakili Malaysia kini hanya tinggal JDT sahaja. Selain berjaya melangkah ke peringkat kalah mati, JDT juga mencatatkan rekod 100% kemenangan dan mengutip mata maksimum sebagai amaran buat lawan mereka kelak.

BACA JUGA: Selangor Ambil Keputusan Tarik Diri Saingan Piala AFC

Di peringkat domestik pula, JDT masih bersaing untuk merebut tempat pertama Liga Super yang kini dihuni oleh pasukan Felda United manakala Selangor semakin hilang tumpuan.

Berdasarkan dua situasi ini, adakah JDT kini kelab bola sepak paling besar di Malaysia mengatasi Selangor?

Sejujurnya perbandingan antara dua buah kelab ini tidaklah sehebat rivalry antara Manchester United dan Liverpool, FC Barcelona dan Real Madrid, yang mempunyai sejarah kegemilangan beratus-ratus tahun lamanya. Tetapi buat peminat bola sepak tempatan, ianya satu topik yang tidak boleh diabaikan memandangkan Selangor dan JDT mempunyai bilangan penyokong yang amat besar di negara ini.

Mungkin persaingan antara Selangor dan JDT boleh diibaratkan seperti perseteruan di antara kelab Liverpool dan Chelsea. Sebuah kelab yang gemilang dengan sejarah mereka dicabar oleh kelab yang diberi nafas baru oleh seorang pemilik yang kaya raya.

Ya, kejayaan terkini adalah penting tetapi ianya bukan segala-galanya. Pasti ramai tidak setuju jika kelab Leicester City dilabel lebih besar berbanding kelab seperti Aston Villa atau mungkin Nottingham Forest di England, tetapi kejayaan mereka menjadi juara Liga Perdana Inggeris baru-baru ini berjaya mengubah sesuatu.

Sejarah adalah penting tetapi berapa lama kita boleh bertahan dengannya? Ketika Manchester United menjadi juara liga pada era 90-an, peminat Liverpool masih duduk selesa dengan sejarah kelab mereka menjuarai liga sebanyak 18 kali sebelum itu.

Tetapi apabila Manchester United berjaya mengatasi rekod mereka selepas menang liga pada tahun 2013, memori kegemilangan menjulang piala liga perdana di Anfield semakin pudar dari ingatan penyokong Liverpool.


JDT tidak mempunyai sejarah sebesar Selangor. Ketika ini Selangor mempunyai koleksi tujuh kejuaraan liga, lima piala FA, dan paling membanggakan, menjadi juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

Walaubagaimanapun, kecemerlangan JDT memenangi Liga Super buat dua musim berturut-turut menunjukkan mereka mahu mencabar apa yang ada pada Selangor. JDT juga memburu kejuaraan Liga Super buat kali ketiga berturut-turut dengan barisan pemain bintang dan kekuatan Stadium Larkin yang sentiasa sesak dengan sorakan penyokong.

Perbandingan antara JDT dan Selangor boleh dibuat berdasarkan banyak faktor dan melalui pelbagai perspektif. Dibawah adalah beberapa pendapat dari beberapa individu mengenai topik ini.

JDT Lebih Besar Daripada Selangor? Apa Kata Mereka..


Tan Cheong Hoe (Jurulatih Kedah):

"Ketika ini ianya JDT tetapi jika kamu lihat pada sejarah bola sepak di Malaysia, Selangor adalah kelab bola sepak terbesar berbanding mana-mana pasukan di negara ini."

Mehmet Durakovic (Bekas Jurulatih Selangor):

"Selangor sudah sekian lama menjadi gergasi di Malaysia dan mereka mempunyai sejarah yang hebat tetapi buat masa sekarang JDT adalah kelab terbesar, kerana mereka mempunyai kewangan dan pengurusan yang baik.

"Apa yang JDT lakukan kepada bola sepak Malaysia amat sukar dipercayai dan mereka berada dalam landasan yang betul. Mereka membina stadium baru dan mempunyai kelengkapan latihan yang setaraf kelab-kelab di Eropah. Selangor, dan pasukan-pasukan lain boleh belajar banyak perkara daripada mereka."

Khairul Helmi Johori (Ketua Pasukan Kedah):

"Bagi saya JDT kelab terbesar. Mereka pasukan yang lengkap dengan kemudahan yang baik, padang latihan yang bagus dan banyak lagi. JDT mampu menarik perhatian banyak pemain hebat dan yang paling utama mereka mempunyai pengurusan yang terbaik."

Jacksen Tiaga (Bekas Jurulatih Kebangsaan Indonesia):

"Jika di Indonesia, 100% ianya adalah Selangor kerana sejarah kegemilangan mereka. Pada waktu sekarang kelab terbesar adalah JDT, dan mereka juga mengatasi kebanyakan kelab di Asia, bukan sahaja di Malaysia.

"Semuanya bergantung kepada bagaimana kamu mentafsirkan besar. Kamu tidak boleh bercakap mengenai bola sepak Malaysia tanpa menyebut Selangor, kerana mereka sudah banyak menyumbang kepada pasukan kebangsaan dan melahirkan barisan pemain-pemain yang sangat luar biasa.

"JDT mungkin pasukan terbaik buat sekarang tetapi mereka tidak mempunyai sejarah yang gah seperti Selangor. Kamu tidak boleh melupakan berapa banyak trofi kejuaraan mereka dan segala apa yang telah disumbangkan oleh pasukan Selangor selama ini."


Bagaimana pula anda...

Adakah anda merasakan kejayaan demi kejayaan yang dilakar oleh JDT di peringkat domestik dan Asia sejak kebelakangan ini sudah cukup untuk meletakkan mereka lebih besar berbanding Selangor?

Berikan komen anda di bawah :)

BACA JUGA: Kesemua 4 Pemain Import JDT Digugurkan Mario Gomez

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now