Lantik Mario Gomez Jadi Jurulatih Pasukan Harimau Malaysia


Kecewa. Itu antara perasaan peminat setia bola sepak tanahair selepas skuad kebangsaan sekadar seri tanpa jaringan menentang Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa di Yangon, malam tadi.

Harapan tinggi penyokong untuk menyaksikan kemenangan memihak Harimau Malaysia tidak kesampaian dan lebih menghampakan mereka apabila tiada jaringan dapat dihasilkan oleh anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan itu.

Seperti biasa, kemarahan mereka dilepaskan di laman media sosial dengan majoriti mengkritik corak permainan skuad negara dikatakan bosan, langsung tiada taktikal dan macam-macam lagi.

Paling mencuri perhatian penulis, ramai juga di kalangan mereka membuat perbandingan antara jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee dan pengendali Johor Darul Takzim Mario Gomez.

Ini susulan kejayaan skuad Harimau Selatan menewaskan pasukan dari Myanmar Ayeyawady United 2-1 dalam aksi Piala AFC dan ketika itu Gomez sekadar mengerah kudrat pemain tempatan.

Benar, Gomez jurulatih yang hebat namun tidak wajar jika kewibawaan beliau dibandingkan dengan Kim Swee walaupun kesebelasan utama pasukan negara dalam perlawanan di Stadium Thuwunna rata-ratanya pemain JDT.

Sentimen siapa jurulatih atau pemain mana yang bermain sepatutnya tidak harus wujud kerana bola sepak dimainkan secara berpasukan seperti kata keramat legenda negara "kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama".

Bayangkan, kalau Gomez selaku pengendali skuad kebangsaan di bawah tampuk kepimpinan FAM sedia ada, saya yakin beliau susah untuk melakukan apa yang sudah dilakukannya sehingga kini.

Apa yang ingin disampaikan penulis, kalau mahu dipersalahkan, persalahkan semua, kalau mahu dirombak, rombak semua walaupun ia mungkin tidak akan berlaku dan hakikat ini pahit untuk terus ditelan.

Buat skuad Harimau Malaysia, bangkitlah selagi anda boleh bangkit kerana jika tidak kritikan dan cacian terus di depan mu. Lumrah.

BACA JUGA: Mario Gomez Sah Gugurkan Kesemua Pemain Import JDT

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now