Penjualan MISC Integrated Logistics Merisaukan Melayu dan Bumiputera


BANGI, Rabu – Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menegaskan penjualan syarikat MISC Integrated Logistics Sdn Bhd (MILS) kepada syarikat bukan bumiputera merupakan sesuatu yang malang kepada bangsa Melayu dan Bumiputera.

Setiausahanya, Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada banyak pihak yang menyatakan kebimbangan terhadap nasib mereka setelah syarikat itu dijual.

“Jadi kami sedih dengan penjualan syarikat itu, kami menerima pelbagai aduan daripada pekerja di syarikat itu dan beberapa pihak lain yang meluahkan kebimbangan terhadap nasib mereka setelah syarikat itu berpindah milik.

“Memang benar, pihak yang membeli syarikat itu menjamin untuk mengekalkan pekerja yang sedia ada selama setahun, tetapi, selepas setahun apa yang bakal terjadi kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Menurutnya, penjualan syarikat itu bakal memberi impak yang besar kepada orang Melayu dan Bumiputera kerana hampir kesemua pekerja di bawah syarikat itu adalah bangsa Melayu dan Bumiputera.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan bagi menghalang penjualan syarikat itu sekaligus membela nasib bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini.


“Kita bangunkan sebuah syarikat dengan bersusah payah, selepas itu kita jual begitu sahaja dan dijual pula kepada kaum lain, jadi di mana Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dahulu,” ujarnya.

Maka katanya, sekiranya syarikat itu masih belum dijual sepenuhnya kepada syarikat lain, beliau meminta agar segera menghentikan niat untuk menjualnya.

“Saya yakin, memang pada mulanya pelbagai janji ditaburkan, tetapi nanti, lepas sudah dijual, segala-galanya akan bertukar dan kemungkinan juga pekerja Melayu dan Bumiputera di syarikat itu semakin berkurangan,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan bahawa MISC Berhad menandatangani perjanjian jual beli dan penjualan saham bersyarat bagi melepaskan 100 peratus kepentingan ekuitinya di dalam MILS kepada syarikat bukan Bumiputera, Swift Haulage Sdn Bhd.

Penjualan ini juga dijangka memberi impak kepada pekerja MILS yang 95 peratus daripada keseluruhan 1,200 pekerjanya adalah Melayu dan Bumiputera. - www.mybuletin.net

BACA JUGA: Kerajaan Gesa Bakal Doktor Buat Kerja Lain Kerana Tiada Kekosongan di Hospital

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now