Tajaan RM30 Juta D'Herbs Ditolak Oleh Kedah


Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini menolak tawaran tajaan Syarikat D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs) yang bernilai RM30 juta.


Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata keputusan penolakkan tajaan itu dibuat selepas mendapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak penaja sukar untuk diterima KFA.

"Selepas perbincangan dibuat dalam mesyuarat pengurusan KFA, kami dapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh D'Herbs tidak boleh diterima dan dilihat boleh menyukarkan pihak KFA, namun isi kandungan syarat tidak boleh diberitahu.

"Walaupun tajaan tidak diteruskan, KFA berterima kasih kepada pihak D'Herbs atas kesudian untuk membantu menaikkan imej KFA dan berharap jalinan kerjasama dapat diteruskan dalam bentuk medium yang lain," katanya di sidang media di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Pada 23 April lalu, Pengasas D'Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengesahkan D'Herbs bersetuju taja RM30 juta untuk tempoh tiga tahun untuk program pembangunan bola sepak serta membaiki Stadium Darul Aman.

Aminuddin berkata buat masa ini KFA tidak menerima sebarang tawaran penajaan daripada mana-mana syarikat dan masih mempunyai alternatif lain untuk menggerakkan persatuan seperti musim-musim sebelum ini.

"Walaupun tanpa tajaan, ia tidak akan menjejaskan sumber kewangan KFA. Namun kami sedar sudut kewangan memang diperlukan bagi membolehkan kami menampung perbelanjaan seperti mencari pemain berkaliber dan memastikan keselesaan pemain terjaga.

"Jadi KFA sentiasa terbuka untuk menerima sekiranya ada mana-mana syarikat yang ingin menaja, namun syarat-syarat yang ditetapkan perlu diterima oleh kedua-dua pihak demi kepentingan masa hadapan," katanya.

Kenyataan rasmi Presiden KFA di facebook

Sementara itu, Aminuddin berharap agar semua peminat Kedah memahami keputusan yang diambil KFA berhubung penolakan tajaan itu kerana pihak KFA mempunyai iltizam yang sama seperti peminat iaitu untuk melihat skuad Helang Merah berjaya.

"Kami faham peminat pasti kecewa dengan keputusan KFA, tetapi kami ingin pastikan pasukan bola sepak kami berjaya dan Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah juga akan mencari jalan untuk terus memantapkan bola sepak Kedah," katanya. - www.mybuletin.net

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

HOT POST FORBLOGGER HARINI:



APA KOMEN ANDA?

0 comments:

Scroll to top