Kedudukan Malaysia Dalam Krisis Laut China Selatan

Ketika ramai daripada kita rakyat Malaysia menyangka keadaan politik nasional sudah cukup ganas dan berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ kita terdapat ribut dan badai yang jauh lebih dahsyat, hanya menanti masa untuk datang menderu.



Kecelaruan politik di Malaysia antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib dan penyokongnya serta Tun Dr Mahathir dan penyokongnya berjaya mencuri perhatian rakyat Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Ianya masih lagi berlarutan sehinggalah ke hari ini.

Tanpa kita sedari, krisis pertikaian yang melibatkan pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin memuncak, dan ianya mula menunjukkan perkembangan yang bisa menggusarkan kita semua.

Aktiviti Ketenteraan Meningkat

Saban hari berlalu, tiada sebarang tanda bahawa ketegangan antara kuasa besar US dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan reda. Malah pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan masing-masing.

Kerajaan US giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka memasuki perairan Laut Cina Selatan, dan mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers) di pengkalan mereka di Australia.

Manakala China yang sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di sekitar kepulauan tersebut.

Walaupun kedua-dua kuasa tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah jalan penyelesaian dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang berlaku menggambarkan sebaliknya.

Bolehkah Perang Meletus?

Dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan ketenteraan disebut sebagai satu situasi yang berpotensi tinggi untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin akan berlaku di perairan Laut China Selatan.

Pertembungan yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang paling merbahaya jika tercetus adalah di antara US dengan China sendiri. Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan menjejaskan seluruh rantau ini.

Yang kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina merupakan pengkalan tentera US di kawasan Asia Tenggara, turut dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini, tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif.

Yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam. Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang menjadi perebutan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh tentera China.

Implikasi Kepada Malaysia

Malaysia juga tidak terlepas daripada menerima provokasi daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia secara langsung. Terpulang sama ada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Terdapat pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah, Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi medan pertempuran kuasa di antara US dan kesatuan Soviet.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain daripada tanah air mereka sendiri.

Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa besar seperti US dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi nasional yang berkesan.

Oleh kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi (seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.

Diplomasi Sebagai Jalan Keluar?

Kebarangkalian untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.

Tambahan pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar US dan China, serta keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’ kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Dato’ Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, US, pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC) pihak-pihak di Laut Cina Selatan.

Jelas sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus kelak.

Dalam keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh US, serta kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salahlaku ramai pemimpin negara, adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?

Dalam situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.

Nukilan Oleh:

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Chief Operating Officer IRIS Institute


Jangan lupa untuk Like Facebook MyBuletin

0 comment... add one now