Kementerian Kesihatan Arah Penutupan Taman Tema di Bukit Merah, Perak

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan penutupan sementara sebuah taman tema yang terletak di Bukit Merah, Perak susulan kes beberapa pengunjung dilaporkan jatuh sakit selepas mengunjungi tempat tersebut.


Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Jabatan Kesihatan Perak telah bertindak mengeluarkan arahan tersebut kepada pihak pengurusan taman tema itu agar tidak membawa masuk sebarang pengunjung memandangkan pemeriksaan rapi terhadap kandungan air di premis itu sedang dilaksanakan.

“Tindakan seterusnya bergantung kepada keputusan ujian pemeriksaan tersebut.

“Jabatan Kesihatan Perak memantau rapi kes berkenaan,” katanya.

Kementerian juga dalam laporannya berkata, tiga orang kanak-kanak perempuan berusia tiga, enam dan sepuluh tahun dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Kedah selepas mengalami sakit selepas pulang dari taman tema itu.


Ketiga-tiga anak kepada Mat Nasir Abu Bakar itu mengalami masalah cirit-birit dan muntah selepas pulang pada Sabtu lalu.

Selain anaknya, keluarga jiran Mat Nasir yang turut sama mengunjungi taman tema itu pada hari yang sama, juga mengalami masalah kesihatan sama.

Pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa dijangkit virus rota yang sering menyebabkan penyakit cirit-birit dan muntah dalam kalangan kanak-kanak.

Jangan lupa untuk Like Facebook MyBuletin

0 comment... add one now