17 Kawasan di Selangor Diramal Banjir

SHAH ALAM: Sebanyak 17 lokasi membabitkan lima daerah di Selangor diramal berdepan banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 16 hingga 19 Oktober ini.


Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor, Ahmad Afandi Mohamad, berkata paras air akibat fenomena itu dijangka meningkat sehingga 5.7 meter, melebihi paras air yang direkodkan ketika fenomena air laut pasang besar bulan lalu, iaitu 5.6 meter.

"Di daerah Klang, kawasan diramal terjejas ialah Sungai Serdang, Bandar Klang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang, Kampung Sungai Lima dan Pulau Ketam. 

"Sabak Bernam pula membabitkan Kampung Sungai Air Tawar dan Sungai Tengar, manakala di Kuala Selangor, lokasi dijangka terjejas ialah Pasir Penambang, Bagan Pasir dan Pantai Remis. 

"Kawasan pesisir Pantai Bagan Lalang bagi Sepang serta Pantai Kelanang dan pesisir Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat juga termasuk dalam kawasan yang diramal berlaku banjir," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Bencana negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusuf, berkata penduduk di semua kawasan berisiko perlu mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan, bermula jam 2 petang, pada 15 Oktober ini.

"Sebagai langkah persediaan, sebanyak 414 pusat pemindahan akan dibuka. Bencana ini mungkin berlaku sekiranya hujan lebat dengan dibantu tiupan angin kencang. Jadi, penduduk dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa, selain mengambil langkah persediaan sewajarnya," katanya. 

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat meramalkan fenomena air pasang berserta ombak besar dan angin kencang akan melanda Pantai Barat Semenanjung pada 17 hingga 20 Oktober dan 14 hingga 17 November ini.

Berikutan itu, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah mula mengambil langkah berjaga-jaga dan mempersiapkan agensi masing-masing bagi menghadapi fenomena air pasang besar luar biasa yang dijangka berlaku pada minggu ketiga bulan ini.

BACA JUGA: Berniaga Lebih Menguntungkan Dari Jadi Engineer

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now