300 Penumpang Kecewa Bas Disediakan KTMB Lewat dan Tak Mencukupi

KAMPAR: Penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang ditemui Stesen KTM Kampar malam ini menyuarakan rasa tak puas hati dengan khidmat bas transit disediakan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dikatakan lewat.

Kelewatan itu dikatakan berpunca daripada bilangan bas transit yang terhad menyebabkan penumpang yang terkandas susulan kereta api barang yang tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah pagi tadi, perlu menunggu lama.

Berikutan insiden itu, penumpang dari selatan ke utara diturunkan di Stesen KTM Kampar bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke Ipoh menaiki bas transit, manakala penumpang ke selatan diturunkan di Ipoh dan menyambung perjalanan dari Ipoh menaiki bas sebelum menaiki ETS dari Kampar.

Pegawai bank yang ditemui di Stesen KTM Kampar, S Shamila Devi, 34, dari Kuala Lumpur berkata, dia terpaksa menunggu bas transit hampir dua jam untuk pulang ke Taiping bagi meraikan sambutan Deepavali esok.

Katanya, dia sepatutnya tiba kira-kira tiga jam selepas dijadualkan menaiki ETS pada jam 5.11 petang namun dia tidak pasti bila dapat menaiki bas transit itu kerana masih ramai yang menunggu giliran.

"Saya difahamkan hanya dua bas disediakan untuk pergi ke Stesen KTM Ipoh, ..pihak KTMB perlu sediakan lebih banyak bas bagi menampung jumlah penumpang yang ramai. 

"Esok sudah raya (Deepavali), inipun tidak pasti jam berapa sampai ke Taiping kerana keluarga dan sanak saudara sudah menunggu," katanya.


Sementara itu, seorang kakitangan swasta Shariff Abdul, 45, yang bekerja di Tanjung Malim dan dalam perjalanan pulang ke Butterworth berkata, kebanyakan penumpang berebut-rebut dan tidak sabar untuk ke destinasi masing-masing.

"Saya ada bertanyakan pemandu teksi untuk ke Stesen KTM Ipoh namun dia memaklumkan tambang teksi RM60 untuk ke sana, ...jadi agak mahal. 

"Memandangkan saya tidak terburu-buru untuk pulang jadi saya hanya menunggu giliran untuk naik bas yang disediakan," katanya. 

Japhneth Ong, 25, yang bertolak dari Kuala Lumpur Sentral pada jam 6.15 petang berkata dia sangat selesa menggunakan perkhidmatan ETS namun tidak menyalahkan KTMB susulan insiden itu berlaku sehingga menyebabkan ramai penumpang lewat menuju ke destinasi.

"Saya tinggal di Ipoh sahaja tetapi tiada orang boleh ambil saya di sini, jadi saya pun tidak tahu sampai pukul berapa (ke Ipoh)," katanya.

Tinjauan di Stesen KTMB Kampar malam ini mendapati stesen berkenaan masih sesak dengan seramai kira-kira 300 penumpang masih menunggu giliran menaiki bas transit yang disediakan.

0 comment... add one now