5 Lelaki Tak Mengaku Rogol Remaja di Tandas Surau

AYER KEROH: Lima lelaki, termasuk seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokasi berasingan, tahun lalu.


Kelima-lima tertuduh berusia 18 tahun hingga 32 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar sejurus pertuduhan dibacakan.

Lima tertuduh berkenaan adalah Mohd Salrizal Roslan, 32; Muhamad Faizal Mohd Nawi, 25; Muhammad Azrie Hanafiah Mohd Azman, 23; Marfatis Mohd Fathil, 20 dan Muhammad Syukri Mohd Yunus, 18. 

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi berasingan iaitu bilik hotel Plaza Mahkota dan bilik tidur, dalam kereta serta tandas lelaki sebuah surau di Taman Limbongan Permai, di sini, pada tarikh dan waktu berbeza dalam daerah Melaka Tengah antara Januari hingga Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi, yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana kes membabitkan remaja di bawah umur, manakala kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu untuk diberikan ikat jamin dengan alasan dianaiya, selain menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjami dan menetapkan 17 November ini untuk tarikh sebutan semula kes.

BACA JUGA: Abang Dibunuh Bakal Adik Ipar Beristeri Dua

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now