Abang Suspek Samun di Damansara Rayu Adik Serah Diri

SHAH ALAM: "Kalau boleh saya mahu adik saya serah diri kepada pihak berkuasa kerana saya tidak mahu berlaku apa-apa yang tidak elok kepadanya," kata abang kepada seorang suspek kes samun di Ara Putra, Ara Damansara, pagi kelmarin.


Pemuda berusia 27 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad itu, berkata beliau juga bimbang jika adiknya mengambil tindakan singkat ekoran terlalu takut diburu polis.

"Sebelum ini, adik saya tidak pernah melakukan perkara seperti ini kerana dia takutkan saya sebagai abang sulung. Namun, sejak beberapa bulan lalu, saya berpindah keluar dan tinggal di Kota Kemuning manakala adik saya tinggal di rumah di Subang bersama ibu dan bapa tiri kami," katanya kepada BH. 

Mohammad berkata, beliau hanya mengetahui mengenai pembabitan adiknya yang berusia 17 tahun itu dalam kejadian berkenaan selepas rakannya menunjukkan klip video kejadian itu yang sudah tersebar melalui laman sosial.

Katanya, apabila melihat video itu, beliau yakin suspek adalah adiknya. "Saya ada cuba menghubungi adik tetapi panggilan saya tidak berjawab dan dia juga tidak menelefon saya.

"Apa yang saya kesalkan, adik saya yang sebelum ini ditempatkan Sekolah Tunas Bakti, Taiping, kerana beberapa kesalahan juvana tidak diambil semula oleh pengurusan institusi berkenaan selepas dia melarikan pada Mac lalu. 

"Ketika itu saya ada hubungi mereka untuk meminta pengurusan institusi mengambil adik kerana bimbang jika saya hantar sendiri dia melarikan diri ketika dalam perjalanan, sebaliknya mereka meminta kami menghantarnya sendiri," katanya. 

Ditanya mengenai kenyataan minta maafnya yang tersebar melalui Facebook, Mohammad berkata ia dilakukan atas rasa tanggungjawabnya sebagai abang. Katanya, sebelum berbuat demikian beliau berfikir mengenai implikasinya namun merasakan itu keputusan yang terbaik.

"Benda malu saya letak tepi. Mungkin itu bahagian saya. Selepas saya memuat naik kenyataan itu, kakak mangsa ada menghubungi saya. Saya bertanya keadaan mangsa dan dimaklumkan mangsa tidak mengalami kecederaan namun masih trauma dengan kejadian itu," katanya. 

Ketika ini, Mohammad berkata beliau hanya berharap agar adiknya dapat menyerah diri selepas membaca laporan akhbar.

BACA JUGA: Azizan Osman Terima PhD Dari Amerika, Akan Hadir Konvokesyen Tidak Lama Lagi

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now