Agong Masih Berkuasa Isytihar Darurat Berpandukan 'Nasihat' Kerajaan

BANGI: Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat kerana Seri Paduka mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat negara.


Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, mengikut akta itu, perdana menteri pula hanya diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat bagi 'satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu'.

Ketika memberi penjelasan mengenai Akta MKN, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk mengisytiharkan darurat secara peribadi tetapi harus bertindak atas nasihat kerajaan.

"Ia bukanlah seperti apabila anda berhasrat mengisytiharkan (darurat), kemudian bertindak mengisytiharkannya. Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong harus bertindak atas nasihat. Ini amat penting," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, hari ini.

Akta MKN 2016, yang membolehkan kerajaan mempunyai kuasa-kuasa darurat, berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun ini. 

"Ini untuk membolehkan Anggota-anggota Parlimen membahaskan sama ada wajar mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu atau sebaliknya," kata beliau.

Peguam Negara menegaskan bahawa Akta MKN digubal untuk melindungi negara bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dikekalkan setiap masa dan dengan segera.

Mohamed Apandi berkata, akta itu juga digubal berikutan beberapa realiti yang dihadapi oleh Malaysia, sambil merujuk kepada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 sebagai contoh.

"Saya menarik perhatikan kepada keadaan Lahad Datu... dan untuk menangani keadaan itu, MKN berkuat kuasa demi memastikan rakyat Malaysia boleh hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiada motif terselindung. 

"Sekarang, kita mempunyai undang-undang yang sewajarnya dengan undang-undang itu membolehkan angkatan tentera dikerah ke tempat kejadian pencerobohan atau apa jua keadaan berbahaya, demi keselamatan negara," kata beliau. - MyBuletin

BACA JUGA: Penjelasan Kenapa Sultan Johor Menolak Jadi YDP Agong Ke-15

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now