Bakar Rumah Lepas Gaduh Dengan Isteri


IPOH: Enam unit rumah teres papan di Taman Kuan Woh Yuen di Jalan Bendahara di sini musnah disyaki dibakar seorang daripada penyewa yang berang selepas bergaduh dengan isterinya petang tadi.

Bagaimanapun, tiada yang cedera dalam kejadian itu jam 5.30 petang berikutan lima lagi rumah kosong.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Putih menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 petang dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Seorang pemilik rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lim, 36, berkata isteri penyewa terbabit menelefonnya kira-kira jam 5 petang tadi mendakwa suaminya mahu membakar rumah itu.

Katanya, wanita berkenaan memberitahu mereka sering bergaduh sejak tiga hari lalu dan memintanya segera datang ke kawasan rumah sewa berkenaan kerana lelaki berkenaan mahu membakar rumahnya.

"Saya memintanya menelefon polis dan saya pula bergegas ke rumah itu dan sebaik tiba mendapati rumah saya bersama lima lagi rumah di situ sudah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau sudah menyewakan rumah itu kepada pasangan suami isteri itu yang mempunyai tiga anak sejak tujuh tahun lalu.

Sementara itu, sumber berkata, polis sedang mengesan lelaki yang membakar rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.- MyBuletin

0 comment... add one now