Dalang Kes Kren Jatuh Hingga Menyebabkan Kematian Dicari

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang mengenal pasti individu bertanggungjawab mengubahsuai suis keselamatan kren sehingga besi cangkuk jentera itu terjatuh dan mengakibatkan kematian seorang wanita di ibu negara pada Ogos lalu.


Ketua Pengarah, Datuk Mohtar Musri, berkata ubahsuai itu adalah punca kemalangan berkenaan dan pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

Katanya, ketika ini JKKP sedang menyiasat individu yang mengganggu suis keselamatan kren terbabit sehingga menyebabkannya beralih ke luar dari tapak binaan.

"Kami turut meminta kerjasama Polis Antarabangsa bagi menjejak pengendali kren warga Indonesia yang melarikan diri selepas kemalangan. Menggajikan pengendali kren warga asing menyalahi undang-undang negara," katanya. 

Dalam kejadian pada jam 7.20 malam 25 Ogos lalu, Chin Khoon Sing, 24, berasal dari Gurney Park, Georgetown, Pulau Pinang maut selepas cangkuk kren jatuh betul-betul di atas bumbung tempat duduk pemandu keretanya ketika mangsa memandu melalui sebuah kawasan pembinaan di Jalan Raja Chulan.

Mokhtar ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Keselamatan dan Penyelenggaraan Strata 2016 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, sebanyak 29 kes keselamatan berkaitan kemudahan lif di sekitar Lembah Klang dilaporkan sejak Januari lalu membabitkan kemalangan, kerosakan dan mangsa terperangkap di dalamnya, selain tiga kes lif tiada Sijil Perakuan Kelayakan (CF) dan tiga kes keadaan lif tidak selamat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan syarikat penyelenggaraan lif menyediakan latihan berterusan kepada juruteknik mereka supaya kerja baik pulih dan menyelenggara dapat dilakukan dengan sempurna dan menepati ciri keselamatan. - MyBuletin

BACA JUGA: Gadis Tolak Lamaran Mati Dibunuh

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now