Gadis Nasi Lemak Anak Dara Sudah Berpunya, Tidak Mahu Curang

SHAH ALAM, 6 Okt — Ayu bertudung dan gigih berusaha menjadikan penampilan Siti Hajjar Ahmad disenangi jejaka yang berhajat menjadikannya suri teman hidup.


Tanpa berselindung, beliau berkata dirinya sudah dimiliki dan merancang mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya pertengahan tahun depan.

“Masa ini pun ada sahaja yang tanya tetapi saya cakap sudah berpunya. Kawan boleh tetapi tidak mahu lebih-lebih.

“Sama juga dengan panggilan telefon, kalau benda penting baru telefon. Ada saja orang telefon cakap nak berkenalan tetapi saya kata memang sudah tidak akan pilih yang lain,” katanya.

Penjual Nasi Lemak Anak Dara ini sudah menjalin cinta dengan kekasih hatinya sejak enam tahun lalu ketika sama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi Kedah.

Bagaimanapun, pasangan ini terpisah apabila Hajjar melanjutkan pelajaran ke Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor manakala kekasihnya ke Universiti Teknologi Mara di sini.

Graduan kejuruteraan elektronik perubatan ini akan bergraduasi Sabtu ini, manakala kekasihnya sudah dua tahun menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

Hajjar, 24, berkata belum tiba masanya untuk memperkenalkan siapa kekasihnya namun pemuda dari Kelantan itu banyak membantu dalam perniagaannya.

Katanya, Nasi Lemak Anak Dara yang semakin popular membuatkan kekasihnya itu bimbang yang dia akan berubah hati memilih lelaki lain.

“Dia sebenarnya risau juga sebab kami sudah lama kenal. Dia kata kalau boleh janganlah kenal sesiapa. Saya cakap tidaklah; tidak kenal siapa-siapa pun.

“Ada saja orang tanya, ‘tidak mahukah tinggalkan yang lama?’ Saya kata, ‘tidak mungkin sudah terkenal dan senang, hendak tinggalkan yang lama?’

“Dia yang mula-mula beri modal berniaga RM500. Dia tanya, ‘hendak buat betul-betul atau tidak? Kalau tidak serius, tidak payah’,” katanya, menceritakan saat-saat awal tercetus usaha tersebut.

Kekasih hatinya itulah juga membantu menurunkan barang niaga dari tingkat lima pangsapuri di Seksyen 7 di sini setiap hari.

Unit kediaman yang disewa dengan rakan-rakan bujang kira-kira 20 meter dari gerainya.

Gadis ini yang berasal dari Sungai Petani, Kedah turut berkongsi pengalaman dikunjungi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Jumaat lalu.

Katanya, tokoh politik itu datang tidak kena pada masa di kala dirinya sibuk di dapur menyiapkan ratusan bungkus nasi lemak yang sudah ditempah.

“Tidak mahu turun [jumpa Azmin] sebenarnya sebab masa itu ada tempahan untuk masjid. Masa itu pun [saya] tidur sejam saja. Beliau datang sekejap tetapi tunggu yang lama.

“Mereka suruh datang ke pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebab menteri besar hendak turun sana. Saya kata tidak boleh, masa itu banyak tempahan. Masa itu lebih 300 bungkus.

“Masa itu memang duduk di dapur saja. Saya kata tidak boleh, sibuk. Mereka kata sekejap saja, menteri besar hendak jumpa,” katanya.

Tambahnya, beliau terpaksa menggayakan memberi Azmin bungkusan nasi lemak yang kosong.

Menteri besar berkunjung setelah muncul berita Hajjar mendapat kompaun RM300 daripada MBSA kerana berniaga tanpa lesen.

Pihak berkuasa tempatan itu dilaporkan mengambil tindakan tidak lama selepas Nasi Lemak Anak Dara muncul sensasi di media sosial.

BACA JUGA: Ibu Tidak Restu, Nasi Lemak Anak Dara Terpaksa Henti Perniagaan Yang Sudah Viral

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now